DAP tidak abai kepentingan kaum India, kata Ramasamy


Ravin Palanisamy

DAP didominasi oleh Cina, tetapi ia tidak pernah merendahkan nilai dan kedudukan kaum lain, termasuk India dalam parti itu, kata P Ramasamy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2021.

WALAUPUN DAP didominasi oleh Cina, parti itu tidak pernah merendahkan nilai dan kedudukan kaum lain, termasuk India dalam parti itu, kata P Ramasamy.

Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata parti berkenaan memang majmuk selama ini.

Sehubungan itu katanya, tidak ada perebutan kuasa dalam parti itu berkenaan siapa pemimpin India dalam DAP.

“Majoriti ahli DAP ialah Cina tetapi ada sekumpulan besar keahlian kaum India dalam parti, dan sudah tentu ada Melayu juga. Tetapi walaupun komposisi Cina, ia memang selama ini parti yang berbilang kaum.

“Ada ramai India dalam DAP dan sebahagian daripada mereka sudah lama menjadi ahli. Jadi, tidak ada perebutan kuasa,” katanya yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata jumlah wakil India dalam parti itu, atau Kabinet sekalipun, tidak relevan kerana apa yang penting ialah pemimpin menunjukkan kepimpinan sebenar dan bertugas untuk masyarakat itu.

“Bukan tentang jumlah. Anda boleh ada ramai wakil dalam Kabinet, tetapi mungkin ia tidak ada suara.

“Apa kita perlukan ialah orang yang berani, dapat menyatakan masa kerana jika kita lihat kaum India, majoriti mereka adalah kelas bekerja dan kumpulan itu sama seperti minoriti lain, perlukan banyak bantuan dan sokongan kerajaan.

“Jadi, bagi membangkitkan perkara ini, kita perlukan orang untuk membawa isu ini secara terbuka, ke Parlimen atau sidang DUN,” katanya.

Walaupun DAP ada beberapa pemimpin India, Ramasamy pada masa ini dilihat sebagai ketua kumpulan itu kerana lantang bersuara tentang banyak isu dan kapasitinya sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Tiada  lagi MIC

Ramasamy berkata MIC, parti berasaskan kaum India gagal berkhidmat kepada masyarakat itu walaupun berpeluang berbuat demikian.

Beliau berkata tidak kiralah bagaimana pun MIC melabelkan dirinya untuk berdepan pilihan raya umum akan datang, kaum India sudah lama meninggalkan parti itu.

Beliau merujuk kepada temu bual The Malaysian Insight baru-baru ini bersama Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran di mana parti itu sudah berubah dan berjanji untuk jadi lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.

Ramasamy berkata parti itu tidak ada masa depan di negara ini kerana ia tidak dapat bersaing dengan DAP dan PKR, yang lebih berbilang bangsa.

“Sudah berlaku zaman di mana MIC adalah rakan komponen setaraf seperti ketika bersama Perikatan dulu.

“Dalam Barisan Nasional, kuasa dan peranan MIC dikurangkan dan kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka hanya ada satu jawatan menteri.

“Terus-terang cakap, bukan berniat melukakan perasaan, tetapi MIC tidak ada masa depan di negara ini. India sudah lama hilang keyakinan pada parti itu,” katanya.

Pada PRU14, pencapaian MIC paling teruk; menang hanya dua daripada sembilan kerusi ditandingi di Parlimen, dan tiga kerusi daripada 18 ditandingi bagi DUN.

M. Saravanan ialah ahli Parlimen Tapah dan Sivarraajh menang di Cameron Highlands.

Mahkamah Pilihan Raya kemudiannya membatalkan kemenangan Sivarraajh selepas terbukti berlaku amalan rasuah ketika pilihan raya.

Umno bertanding melawan MIC di kerusi itu pada pilihan raya kecil, dan menang.

Pada masa ini, satu-satunya ahli Parlimen MIC ialah Saravanan, yang juga timbalan presiden dan menteri sumber manusia di bawah kerajaan PN. – 19 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen