Najib patut tolong, bukan kritik kerajaan, kata Shahidan 


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata tiada mana-mana kerajaan sekalipun yang mampu menguruskan penularan wabak Covid-19 dengan pada masa sama mampu mentadbir ekonomi negara dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak sepatutnya membantu kerajaan menarik pelaburan ke dalam negara,  bukan secara berterusan mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, keyakinan pelabur dapat diurus sekiranya semua pihak memberikan pandangan positif kepada kerajaan.

“Pada pandangan saya kerajaan buat dengan baik. Punca masalah ekonomi kalau semua bantai kerajaan, (maka) pelabur takut nak masuklah. 

“Saya minta bekas bos dan sahabat saya Najib supaya beri pandangan positif kepada kerajaan dan ambil daya usaha tarik pelabur. 

“Sudah pasti sebagai bekas perdana menteri, hubungan beliau baik dengan pelabur luar negara,” kata Shahidan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis berbuka puasa anjuran Perbadanan Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) di ibu negara, hari ini.

Pengerusi PR1MA itu berkata, tiada kerajaan mampu menguruskan penularan wabak Covid-19 dengan pada masa sama mampu mentadbir ekonomi negara dengan baik.

“Kalau kita nak ganti kerajaan baru, kerajaan mana yang hebat nak urus benda ini (masalah ekonomi dan Covid-19). Ini bukan masa baik untuk semua negara tapi saya rasa kerajaan dah buat yang terbaik.

“Kita sedang urus Covid-19 dan ekonomi. Rakyat harus diberi pembelaan. Kalau semua pihak beri pandangan positif, kerajaan akan dapat tarik keyakinan pelabur,” kata Shahidan.

Sehubungan itu Shahidan menyarankan agar bekas perdana menteri seperti Najib dan Dr Mahathir Mohamad membantu kerajaan dalam usaha menarik pelabur asing untuk melabur dalam negara.

“Saya saran bekas perdana menteri beri pandangan positif kepada kerajaan dan minta pelabur masuk. Kalau tidak pelabur pun tak masuk. Bekas pemimpin hebat negara ini kena cari jalan bantu kerajaan. 

“Kerajaan pula janganlah buat dek. Kena bersedia terima apa cadangan pelbagai pihak. Kerajaan patut ambil pandangan positif daripada Najib,” kata Shahidan.

Beliau berkata, kekerapan bertukar kerajaan juga tidak membantu usaha pemulihan ekonomi negara.

Ini kerana proses berkenaan akan mengambil masa panjang dan merencatkan pembangunan ekonomi.

“Suruh tukar kerajaan tak menolong negara pulih ekonomi. Tukar kerajaan ambil masa untuk pulih ekonomi.

“Hebat mana pun kita kena tengok suasana, kena beri pandangan yang positif.

“Kita mesti menampakkan kestabilan politik. Bila politik stabil baru pelabur masuk,” katanya lagi.

Terdahulu, Najib mempersoalkan mengapa sebilangan ahli Umno dan BN memilih untuk kekal dalam kerajaan walaupun banyak melabelnya sebagai “kerajaan yang gagal”.

Bekas perdana menteri yang aktif di media sosial sejak kebelakangan ini, berkata menteri dan timbalan menteri daripada Umno dan BN lebih mementingkan kedudukan mereka berbanding melindungi kepentingan rakyat.

“Sebenarnya, saya segan untuk mengulas tentang hashtag #kerajaangagal ini sebab menteri-menteri Umno dan BN masih meyokong dan merupakan sebahagian dari kerajaan PN.

“Seperti diulas saya 6 bulan dahulu pada Oktober tahun lepas, saya sudah ramal bahawa Umno-BN bakal dikaitkan dengan kegagalan kerajaan dari segi ekonomi.

“Saya juga tak faham kenapa sehingga hari ini Umno dan BN masih mahu berkait dengan kerajaan yang gagal melainkan ada yang lebih mementingkan jawatan berbanding kepentingan negara, rakyat dan parti?” soalnya dalam catatan di Facebook.

Pada Jumaat, kerajaan PN menerima hashtag #Kerajaangagal kerana menambahkan seorang lagi lagi timbalan menteri dalam Kabinet 70 orang.

Shahidan juga berkata, pihaknya akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga tempoh pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, dalam apa jua keadaan, sama ada kekal menyokong PN atau penjajaran baharu politik, kerusi yang dimenangi Umno dalam pilihan raya umum lalu tidak akan berubah.

“Kalau tak sokong kerajaan PN, kita nak sokong kerajaan apa lagi. PN berada dalam kedudukan tipis. 

“Kita dah kata tiada Anwar, PKR, dan DAP, mana lagi nak pergi. Jajaran baharu kena tanya orang Umno, terima atau tidak.

“Saya tak setuju BN keluar PN. Kita dah putus nak kerjasama hingga dekat piihan raya umum, sekarang tidak lagi,” kata Shahidan.

Malah, Shahidan berkata, amat memalukan jika Umno mengambil keputusan untuk bersama PKR dan DAP.

“Umno kita dah ada 42 kerusi Parlimen, kita ada 18 menteri dan timbalan menteri bukan tiada langsung. 

“Jarakkan diri belah mana pun itu jumlah kita. Ke PKR dan DAP pun itu juga. Tapi memalukanlah kerana slogan kita ‘No Anwar No DAP’.

“Sekarang mesti bekerjasama Umno Bersatu, PAS, dan GPS,” katanya lagi. – 18 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen