SERAMAI 36,000 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bakal menerima vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata seramai 25,000 penerima terdiri daripada warga emas manakala selebihnya adalah golongan OKU.
“Kita juga akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk mendaftar vaksin untuk golongan sasar ini (warga emas dan OKU) menerusi beberapa program kerana ada antara mereka yang kurang pengetahuan untuk mendaftar,” katanya yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Malaysia ketika ditemui di Program Dapur Rakyat Prihatin Bersama Wanita PN Selangor hari ini.
Rina berkata walaupun pihak kementerian giat menjalankan pendaftaran golongan sasar bawah kendaliannya bagi penerimaan vaksin, namun mereka perlu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.
Katanya, dalam masa sama pihaknya akan mengambil data individu yang bersetuju untuk didaftarkan sebagai penerima vaksin dan seterusnya akan diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi – Bernama, 18 April, 2021
Komen