PENGUNDI India tidak akan menolak Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang meskipun kecewa gabungan itu cuma bertahan 22 bulan menjadi kerajaan, kata P Ramasamy.
Ini kerana masyarakat India menyedari PH masih mampu membawa aspirasi rakyat dan pembaharuan kepada negara, tambah timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.
“Saya rasa ramai orang India akan memilih PH pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ramasamy yang juga naib timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang berkata masyarakat India kecewa PH digulingkan ketika masih 22 bulan mentadbir negara dan akan memberi peluang sekali lagi kepada gabungan itu merampas semula Putrajaya.
“Ketika PH menang, harapan mereka tinggi kerana negara diperintah oleh ‘kerajaan rakyat’.
“Tetapi janji manifesto tidak dapat ditunaikan dalam tempoh beberapa bulan selepas mengambil alih kerajaan kerana proses itu memerlukan masa.
“Sedangkan Barisan Nasional tidak dapat buat segalanya dalam tempoh lebih 60 tahun, jadi saya rasa tidak adil untuk menilai prestasi PH sepanjang 22 bulan memerintah,” katanya.
Tinjauan Merdeka Centre selepas PRU14 menunjukkan sekitar 70 hingga 75% pengundi India memilih PH pada pilihan raya umum itu, menyebabkan MIC kalah teruk dengan hanya menang dua daripada sembilan kerusi Parlimen dan tiga daripada 18 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Lebih parah lagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan calon MIC Sivarraajh Chandran di Cameron Highlands tidak sah kerana memberi rasuah semasa pilihan raya.
Umno bertembung dengan MIC pada pilihan raya kecil selepas itu dan menang.
Hanya M Saravanan satu-satunya ahli Parlimen dari MIC, yang juga timbalan presiden parti dan menteri sumber manusia dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan DAP-MIC
Ramasamy berkata PRU15 akan menyaksikan pertembungan sengit antara DAP dan MIC untuk memenangi hati pengundi India.
Meskipun masyarakat India golongan minoriti di Malaysia, mereka akan jadi penentu di 62 kerusi Parlimen terutamanya di Kedah, Penang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor, katanya.
Menurut Ramasamy, 62 kerusi tersebut boleh dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan peratusan jumlah pengundi masyarakat India.
Kategori pertama melibatkan kawasan parlimen yang mempunyai antara 21 hingga 26% pengundi kaum India.
Kategori kedua pula terdiri daripada kawasan parlimen dengan 15 hingga 20% pengundi kaum India, katanya.
Ini menjadikan masyarakat India berkemungkinan besar tidak akan memilih kerajaan majoriti Melayu-Islam, sebaliknya memilih parti yang berbilang kaum.
Kerajaan PN katanya terlalu berpusatkan Melayu-Islam dan sukar untuk meyakinkan 40% pengundi bukan Melayu.
“Kerajaan sekarang dikuasai Melayu-Islam, tiada wakil politik bagi 40% daripada populasi. Kerajaan apa macam ini?
“Jadi, apa pilihan lain yang ada? Takkanlah orang India akan undi PN atau Umno atau PAS?,” katanya. – 18 April, 2021.
Komen