Boleh kerjasama dengan Umno jika memenuhi syarat, kata Ramasamy


Ravin Palanisamy

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy menegaskan parti itu tidak boleh menjalin kerjasama dengan pemimpin-pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2021.

DAP terbuka bekerjasama dengan seteru lamanya Umno jika beberapa syarat dipenuhi, kata P Ramasamy.

Antara syarat itu termasuklah menjadi rakan setara dan memegang prinsip yang sama, tambah timbalan pengerusi Pulau Pinang dan timbalan ketua menteri negeri.

Katanya, tiada masalah untuk DAP bekerjasama dengan Umno untuk tujuan yang sama serta bersedia untuk mengurangkan politik kaum dan agama.

“Dan juga bersetuju untuk mengutamakan masa depan negara, kesejahteraan dan kebajikan rakyat .

“Jika semuanya dipenuhi, maka ia tidak mustahil,” kata Ramasamy kepada The Malaysian Insight.

Setakat ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Lim berkata kerjasama dengan Umno akan diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Pusat terlebih dahulu, dan jika ada pun hanya sokongan untuk menggesa kerajaan membenarkan Parlimen bersidang atau hal-hal berkaitan kepentingan dan manfaat rakyat.

Ramasamy berkata jika DAP sebelum ini boleh bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, maka tiada masalah juga dengan Umno, selagi syarat-syarat tertentu dipenuhi.

Paling penting, DAP tidak boleh dipaksa ‘tunduk’ kepada Umno dan kerjasama antara kedua-dua parti mesti setara dalam gabungan, tegasnya.

“DAP tidak boleh kowtow (tunduk) kepada Umno, seperti MCA, MIC dan Gerakan. Itulah kegagalan besar (BN) Barisan Nasional, di mana Umno jadi ‘abang besar’. Situasinya mesti berbeza,” kata Ramasamy, yang juga timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang.

Kemungkinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno disebut-sebut sejak beberapa minggu lalu, selepas parti Melayu itu pada perhimpunan agungnya bulan lalu muktamad untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15 dan menarik diri dari Parikatan Nasional.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed dalam wawancara bersama The Malaysian Insight berkata parti itu itu terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk PKR dan DAP selepas PRU15.

Pengarah pilihan rayanya Tajuddin Abdul Rahman juga dilaporkan media berkata Umno sedia bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan lain bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Ramasamy ketika diminta mengulas perkara itu berkata dalam politik segalanya tidak mustahil.

“Ini semua cuma kebarangkalian dan saya tidak menolaknya. Dalam politik, perkara-perkara begini tidak boleh ditolak.”

Beliau dalam pada itu menegaskan DAP tidak harus menjalin kerjasama dengan pemimpin-pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Saya tidak fikir DAP akan bekerjasama dengan pemimpin yang terpalit dengan salah laku, yang didakwa dan disabitkan bersalah kerana rasuah seperti Najib Razak.

“Tetapi tiada masalah kalau pemimpin itu bersih,” katanya.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke DAP baru-baru ini berkata tidak mungkin parti itu akan bekerjasama dengan Umno pada PRU15.

“DAP lawan Umno berpuluh tahun, hari ini hendak duduk bersama sesuatu yang amat payah untuk memulakan proses itu (kerjasama). Jadi, ia mesti ada satu mind block,” katanya dalam program bual bicara bersama  Majlis Profesor Negara.

Beliau bagaimanapun mengakui sukar bagi mana-mana parti untuk menang kerusi majoriti atau membentuk kerajaan secara sendirian. – 18 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen