Kerajaan laksana PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah, Kelantan


PKPD akan dilaksana di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah, bermula esok hingga 1 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah, bermula esok hingga 1 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan)  Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini beliau berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua kawasan itu dilakukan, setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, PKPD di Sarawak melibatkan Kampung Tengah, daerah Betong dan Taman Mesra Bako, Kuching; Sekolah Menengah Sains Machang (Kelantan); Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu; serta tiga lokaliti di Lahad Datu dan tiga taman perumahan di daerah Tawau, Sabah.

Tiga lokaliti di Lahad Datu membabitkan Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah Indah, sementara tiga taman perumahan di daerah Tawau melibatkan Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley.

Ismail Sabri berkata PKPD dilaksanakan di kesemua kawasan terlibat setelah KKM mengesahkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi. – Bernama, 17 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen