Kisah politik Aida nak jumpa nabi


Haris Hauzah

BUKAN semua ibadah itu indah, malah ada ibadah yang malah akan buat kalian jadi marah.

Harus kalian semua ketahui, atau barangkali dalam bahasa yang lebih mudah difahami, haruslah kalian yang sedang berpesta ibadah pada bulan Ramadan ini sedar diri – bukan semua muslim yang siangnya berpuasa dan malamnya berterawih itu akan dapat mimpi indah bertemu dengan baginda nabi.

Kalau kau hanya seorang muslim bernama Andi, malam kau takkan sama dengan malam seorang yang bernama Hadi. Malam-malam kau mungkin hanya dihiasi dengan kenyenyakkan tidur yang mati.

Sekiranya kau bukan seorang menteri agama di Jabatan Perdana Menteri, jangan kau berani-berani langgar SOP. Jangan sesekali kau harap perjalanan kau ke Arab Saudi akan ditaja dengan pesawat emas kerajaan Arab Saudi sambil dikerumuni saudagar-saudagar besar umrah dan haji.

Meski pun kuat bersolat dhuha dan qiammullail pada malam hari, semua itu takkan mencukupi seandainya kau bukanlah seorang duta bertaraf menteri. Kau tidak akan terpandang seandainya kau bukan seorang presiden sebuah parti Islam terpilih. Politik menjadi bani Melayu yang terpilih ini memang penting sebagai prasyarat mimpi bertemu nabi.

Mimpi biasanya hanya dapat dinikmati oleh pimpinan politik kerajaan Melayu Islam. Iaitu mereka yang terpaling berautoriti memilih Cina mana jahat dan Cina mana pula yang boleh didampingi; Melayu mana jahat dan Melayu mana pula yang harus dijauhi.

Aida misalnya. Sampai ke saat ini pun dia masih gagal mengerti dan memahami. Bagaimana dia yang masih di bawah umur itu boleh dibenarkan secara perundangan dan polisi menjadi seorang isteri. Sedangkan pada masa sama, generasi seusianya enggan pula diberikan hak untuk mengundi. Demikianlah keadilan versi politik kerajaan Melayu Islam yang mendapat kuasa hasil dari kerja khianat dan curi.

Semasa di kampungnya di Pasir Mas sana, Aida diajarkan bahawa dia seorang perempuan yang dilahirkan tanpa punya banyak pilihan. Kerja memilih adalah pekerjaan orang lelaki. Aida ditanam dengan iman bahawa tugas memilih bukan suatu kerja yang mudah. Justeru itu ia harus ditentukan oleh si tua dan tentulah lelaki – demikianlah dunia politik tempat Aida dilahir dan dibesarkan. 

Aida tidak dibenar memilih suaminya sendiri. Kononnya dia masih keanak-anakan. Dia didoktrinasi bahawa dia terlalu muda, mentah dan masih belum matang untuk membuat pilihan. Takut-takut apa yang dipilih budak-budak muda ini nanti salah. 

Justeru kerana itu Aida mahu mimpi bertemu dengan baginda nabi. Biar dikata tidak cukup ilmu, nakal dan jahat, Aida tak peduli. Aida mahu mengadukan segala hal pemimpin-pemimpin kerajaan Melayu Islam yang enggan meraikan demokrasi ini langsung terus kepada baginda nabi.  

Biar nabi tahu bahawa hal-hal politik negara ini sengaja dibikin sulit dan sukar untuk difahami. Segalanya sudah dirangka agar orang-orang Islam jenis jadong dan khianat itu jugalah nanti yang akan diberikan pilihan kepada rakyat negara ini.

Dulu perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pernah mengajarkan agar ahli-ahli politik menjadikan politik sebagai suatu ibadah. Sekarang Aida mulai merasai bahawa bukan semua ibadah itu indah, malah ada ibadah yang akan buat kita jadi marah.

Aida tak mahu lagi jadi jenis pemudi yang hanya diam menadah ilmu dalam ceramah dan kuliah tuan-tuan guru dalam parti sendiri. Tapi sama sekali tidak berani untuk mendiskusikan hal dan segala isi dan inti makna demokrasi. 

Mengapa negara ini mesti didaruratkan, kerana bukankah keadilan hanya dapat tertegak dengan debat dari hujah-hujah kebenaran. 

Mengapa Parlimen mesti ditutup sedangkan bukankah hanya Parlimen dapat mempersoal segala tindak-tanduk sesebuah kerajaan.

Mengapa tugas ahli Parlimen sengaja digantung tidak berfungsi sedangkan bukankah menjalankan tanggungjawab politik sebagai seorang ahli politik itu adalah ibadah yang harus dilaksanakan setiap ahli. 

Aida ingin mimpi bertemu dengan baginda nabi. Aida percaya dalam tidur ada bukti kekuasaan dan tanda keesaan tuhan. Bagi Aida mimpi adalah suatu ruang yang hanya dimilikinya sendiri secara peribadi, Baginya tidak akan ada raja, duta, mufti mahupun menteri yang akan dapat mengganggu alam mimpi yang sangat bersifat peribadi.

Hal ini harus ditandai dengan firman Allah dalam surah Ar-Ruum pada ayat 23 itu sendiri: “Dan di antara ayat-ayatnya (tanda kekuasaan) ialah tidur (mimpi) kamu di kala malam dan siang.” 

Ada ramai yang dah mula matang dan kian dewasa dalam diam. Sebagaimana Aida, mereka dah tak kuasa lagi diperbodoh dan diperolok-olokkan dengan slogan. Konon kerajaan Melayu pimpinan Islam akan memajukan. Padahal kerja mereka tak ubah macam apa yang ada dalam hikayat Melayu, hanya saling jatuh-menjatuhkan dan berkhianat.

Aida percaya hanya mimpi berjumpa dengan baginda nabi dapat membawa kebaikan. Dia nekad mahu mengadukan segala permasalahan kecurangan politik pemenrintah negara ini terus kepada baginda nabi. Walaupun ada yang mempersoal dan haknya mahu dinafi dia tetap tak peduli – sebab politik yang jadi ibadah sudah semakin gila menyakitkan raga dan hati. – 18 April, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen