ZON merah Covid-19 di Sarawak patut dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana kadar positif di negeri ini lebih tinggi daripada 5% ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi sesebuah negara atau negeri membuka semula sempadannya, kata Kelvin Yii.
Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching itu berkata, dengan mengambil kira “data terhad tersedia untuk orang awam” kadar positif Sarawak adalah 8.11%.
Pada 15 April, data menunjukkan 639,767 orang di Sarawak telah diuji “yang akan menghasilkan kadar positif sekitar 8.11%”.
Yii menuduh Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) tidak telus dengan keadaan sebenar pandemik di Sarawak.
Katanya, ketelusan penting kerana ia dapat menghilangkan kebimbangan dan ketakutan diluahkan oleh orang ramai selain menjelaskan sebab di sebalik keputusan dibuat oleh kedua-dua badan itu dengan mengambil kira pelaksanaan PKP atau tidak di bandar-bandar yang dilanda teruk di Sarawak.
“Dengan peningkatan banyak kes di Sarawak beberapa minggu kebelakangan ini, dan desas-desus mengenai pelaksanaan PKP di beberapa wilayah di Sarawak, dapat dimaklumkan bahawa orang ramai risau dan meminta penjelasan tepat oleh kerajaan berkenaan keadaan sebenar di Sarawak.
“Itulah sebabnya saya sangat percaya kerajaan patut bersikap telus dengan masyarakat dan memberikan jaminan yang tepat kepada mereka, dan juga menjelaskan strategi mereka untuk mengurus krisis semasa dengan baik buat kebaikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Yii berkata paling utama, bencana itu harus telus dengan data terkini dan kadar positif “untuk menentukan adakah kita sudah buat cukup ujian satingan bagi menentukan dengan tepat beban penyakit di daerah ini”.
Beliau berkata pada masa ini, tumpuan harian adalah pada jumlah kes baharu Covid-19 harian.
Tambahnya, walaupun jumlah harian itu penting, orang ramai juga perlu tahu jumlah ujian yang dibuat setiap hari dan peratusan kes positif kerana ini akan memberi kita petunjuk tentang keupayaan ujian dan kadar jangkitan harian kita.
Yii yang juga seorang doktor perubatan terlatih, juga berpihak kepada “banyak pakar perubatan” yang menganjurkan penggunaan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK) di daerah yang tinggi pandemik.
Katanya RTK sangat berguna berbanding dalam situasi jika dibandingkan dengan kit ujian polymerase chain reaction. (RT-PCR).
“Kita perlu membuat sebanyak mungkin ujian, dapatkan keputusan dengan cepat, dan asingkan mereka dengan cepat dan rawat mereka jika diperlukan.
“Saya lebih suka melihat jumlah yang lebih tinggi sekarang daripada berdiam diri asalkan ada bukti menunjukkan kita buat banyak ujian dan asingkan mereka dengan cepat bagi mengawal pandemik, masa itu penting.
“Dengan lebih banyak ketelusan data, kerajaan boleh terangkan dengan lebih baik kepada masyarakat mengapa PKP tidak dilaksanakan walaupun kes tinggi, atau jelaskan kepada ibu bapa mengapa sekolah tetap dibuka.
“Orang ramai perlu tahu,” katanya memerli mengapa jawatankuasa bencana negeri tidak menerima saranan Majlis Keselamatan Negara agar daerah-daerah yang paling ramai penduduknya seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong tidak diletakkan di bawah PKP tetapi sebaliknya terus berada di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).
Mei lalu, WHO menasihati kerajaan dunia kadar positif dari saringan Covid-19 harus tetap pada 5% atau lebih rendah sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sempadan dibuka kembali. – 17 April, 2021.
Komen