2 penggodam Indonesia curi AS$60 juta dana bantuan Covid-19 kerajaan AS


Kedua-dua suspek berdepan hukuman sehingga sembilan tahun penjara mengikut undang-undang maklumat elektronik Indonesia. – Gambar AFP, 16 April, 2021.

DUA penggodam Indonesia ditahan selepas terlibat dalam kes kecurian berjumlah AS$60 juta daripada program bantuan Covid-19 bagi membantu penduduk Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan pekerjaan.

Kerajaan Indonesia berkata modus operandi penggodam itu melibatkan penghantaran mesej kepada 20 juta rakyat AS menggunakan laman web palsu kerajaan AS.

Ribuan mangsa memberikan maklumat peribadi termasuk nombor keselamatan sosial kepada laman web palsu itu dengan harapan mendapat bantuan sebanyak AS$2,000 di bawah program bantuan kerajaan AS.

Namun data mereka digunakan oleh penggodam untuk mencuri jutaan dolar daripada program tersebut.

“Kira-kira 30,000 rakyat AS ditiup dan kerajaan AS rugi sehingga AS$60 juta,” kata ketua polis Jawa Timur Nico Afinta.

Dua suspek itu ditahan di Surabaya bulan lepas selepas polis Indonesia dimaklumkan pihak berkuasa AS berhubung penipuan tersebut.

Polis Indonesia bagaimanapun tidak menyatakan tempoh penipuan itu berlaku.

Kedua-dua suspek berdepan hukuman sehingga sembilan tahun penjara mengikut undang-undang maklumat elektronik Indonesia.

Polis kini menyiasat kemungkinan penglibatan individu ketiga yang mungkin menyembunyikan kesemua wang tersebut. – AFP, 16 April, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen