PETER Anthony sedang melalui “pendakwaan dan sabitan” yang tidak adil oleh pihak berkuasa dan media, kata pemimpin Warisan.
Timbalan presiden Darell Leiking hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat penahanan secara tidak adil ke atas naib presiden Warisan, sementara laporan media pula seolah-olah Anthony sudah disabitkan kesalahan jenayah.
“Semuanya tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah…dengan menggari beliau (Peter), sedangkan kerjasama penuh diberikan kepada SPRM, adalah pendakwaan anggapan oleh pihak berkuasa.
“Malah penularan berhubung penahanan Anthony di media sosial dan berita memberikan tanggapan hukuman sebelum bicara oleh orang awam,” katanya.
Anthony, 47 ditahan SPRM pada 5 Januari selepas suruhanjaya itu membuka kertas siasatan berhubung kemungkinan berlaku pecah amanah dalan urusniaga tanah di daerah Tongod.
Leiking berkata pihak berkuasa perlu mematuhi garis panduan undang-undang dan mana-mana suspek jenayah perlu diberikan perbicaraan yang adil.
“Saya terfikir adakah Anthony akan diberikan pendedahan sebegini oleh media jika beliau tidak terlibat dalam politik kerana dengan pendedahan sahaja, ia dengan mudah dianggap sebagai bersalah,” kata Leiking dan menambah, bagaimanapun, Anthony mampu berdepan dengan hukuman media ke atasnya. – 6 Januari, 2018.
Komen