Covid-19 tak reda selepas 3 bulan darurat, kata Najib


Malaysia satu-satunya negara dalam dunia di mana situasi Covid menjadi lebih berbahaya selepas 3 bulan pelaksanaan darurat, kata Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 April, 2021.

MALAYSIA menjadi satu-satunya negara mencatat peningkatan kes Covid-19 semasa dalam tempoh darurat kesihatan, kata Najib Razak.

“Selepas darurat tiga bulan kononnya untuk melawan Covid-19 - sedikit penurunan dalam kes baru, kematian baru naik, jumlah pesakit dalam ICU naik, kluster baru dikesan naik, bilangan kluster yang masih aktif naik, dan kadar kebolehjangkitan (R0) naik,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook.

Nilai R0 digunakan untuk meramal berapa orang yang mungkin akan mendapat jangkitan Covid-19. Semakin tinggi R0, semakin ramai yang akan mendapat jangkitan. 

Najib juga berkata Malaysia bukan sahaja satu-satunya negara di dunia yang isytihar darurat dan menggantung Parlimen atas alasan untuk membendung pandemik.

“Malah kita satu-satunya negara dalam dunia di mana situasi Covid menjadi lebih berbahaya selepas 3 bulan pelaksanaan darurat.”

Ahli Parlimen Pekan itu turut memuat naik statistik jangkitan Covid-19 memaparkan 2,232 kes baharu yang direkodkan pada 11 Januari (semasa darurat diisytihar) dan 2,148 kes yang dicatat semalam.

Statistik itu juga menunjukkan angka kematian hanya 4 kes pada 11 Januari, berbanding 10 semalam. Manakala jumlah pesakit di wad ICU naik kepada 212 orang semalam berbanding 187, sementara jumlah kluster Covid-19 bertambah kepada 346 berbanding 258 pada 11 Januari.

Perdana Menteri Muhyiddin semalam sekali lagi menegaskan tiada niat jahat di sebalik pengisytiharan darurat.

Beliau yang juga presiden Bersatu berkata pengisytiharan darurat diputuskan semata-mata untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.

“Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat ini,” katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam. – 16 April, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen