JUMLAH kes harian Covid-19 di India naik dua kali ganda dalam 10 hari, dengan 200,000 jangkitan dilaporkan semalam, ketika negara negara itu menghadapi kekurangan vaksin dan kapasiti hospital mencecah kapasiti penuh.
Negara yang kini dilanda gelombang kedua pandemik Covid-19 itu mencatat hampir dua juta kes dalam bulan ini.
Minggu ini, India mengatasi Brazil, menjadi negara kedua tertinggi kes positif selepas Amerika Syarikat (AS).
Jumlah kematian akibat Covid-19 di India kini mencecah 175,000 selepas 1,000 kes dilaporkan semalam.
Kebanyakan negeri mula mengetatkan sekatan pergerakan terutama Maharashtra, yang melaksanakan perintah berkurung ke atas 125 juta penduduknya minggu ini.
Terkini, New Delhi mengenakan perintah berkurung hujung minggu serta mengarahkan pasar raya, gimnasium dan spa
tutup mulai petang Jumaat.
Begitu juga Uttar Pradesh di utara India, yang mempunyai 240 juta penduduk, perintah berkurung dikenakan untuk membendung penularan pandemik Covid-19. Ketua menterinya Yogi Adityanath dimasukkan ke hospital semalam selepas dijangkiti virus itu. – AFP, 16 April, 2021.
Komen