ISU pelantikan pemegang amanah Kuil Sri Maha Mariamman yang masih tertangguh diharap dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi, kata jawatankuasa bertindak kuil itu.
Pemegang amanah bagi menguruskan kuil berkenaan masih belum dilantik sejak mahkamah memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara pada 2019 susulan rusuhan akibat pertikaian tanah pada November 2018.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman V K Regu memberitahu The Malaysian Insight, penangguhan pelantikan itu menyukarkan pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih kuil.
“Kami akan berjumpa peguam dalam masa terdekat dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera dengan Jabatan Peguam Negara.
“Tak banyak yang boleh dibuat sejak rusuhan. Kami perlu dirikan pagar, baiki struktur dalaman dan lain-lain.
“Kuil ini berusia 159 tahun. Macam mana kami tak boleh kutip dana (untuk baiki kuil) kalau tiada pemegang amanah?” katanya
Pada Januari 2019, peguam negara ketika itu Tommy Thomas berkata pemegang amanah akan dilantik untuk menguruskan kuil yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu.
Susulan rusuhan pada 26 dan 27 November 2018, hak milik tapak kuil di atas tanah seluas 0.4 hektar akan diserah kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh mahkamah.
Ini dilihat sebagai penyelesaian tengah antara pihak kuil, kerajaan negeri Selangor dan pemaju yang mahu membangunkan projek baharu di atas tanah terbabit.
Thomas kemudian meletak jawatan pada Februari tahun lalu ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Idrus Harun dilantik menggantikan Thomas.
Regu memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak boleh mengutip dana untuk membaiki kuil selagi pemegang amanah tidak dilantik.
“Tak banyak yang boleh dibuat sejak rusuhan. Kami perlu dirikan pagar, baiki struktur dalaman dan lain-lain.
“Kuil ini berusia 159 tahun. Macam mana kami tak boleh kutip dana (untuk baiki kuil) kalau tiada pemegang amanah?”
Buat masa ini Kuil Sri Maha Mariamman diuruskan oleh jawatankuasa bertindak, kata Regu.
Pada November 2018, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin berkata peguam kepada pemaju One City mengupah samseng Melayu untuk menceroboh kuil.
Siasatan polis mendapati peguam tersebut membayar RM150,000 untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil sebelum pemaju datang bersama polis.
Menurut Muhyiddin seramai 50 samseng diupah dan dibayar upah antara RM150 hingga RM300 seorang.
Polis Selangor berkata seramai 13 suspek ditahan kerana terlibat dengan rusuhan dan didakwa di mahkamah. Individu yang didakwa adalah antara 106 suspek yang ditahan.
Rusuhan berpunca dari perselisihan faham antara pihak Kuil Sri Maha Mariamman dengan pemaju dalam isu pemindahan kuil tersebut.
Kejadian menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam rusuhan tersebut.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan inkues bagi menentukan punca kematian Adib. Sehingga kini tiada siapa didakwa atas kematiannya.
Adib, 24, meninggal dunia pada 17 Disember 2018 ketika dirawat di Institut Jantung Negara. – 16 April, 2021.
Komen