Serang pekerja berpuasa ‘masalah besar’, kata Hamzah


Alfian Z.M. Tahir

Empat lelaki yang didakwa menyerang dua pekerja lelaki kerana berpuasa ditahan remas oleh polis hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 15 April, 2021.

POLIS digesa untuk menyiasat kes seorang majikan menyerang dua pekerjanya kerana berpuasa, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sambil menambah bahawa ini adalah “masalah besar”.

“Tidak ada siapa boleh dihalang dari menjalankan perintah agama mereka.

“Saya telah memberitahu polis untuk melihat kes ini dengan serius. Ini tidak seharusnya berlaku. Ini masalah besar.

“Kenapa majikan mesti mengambil tindakan sedemikian hanya kerana berpuasa,” katanya kepada wartawan di Putrajaya petang ini.

Awal hari ini, polis Klang Selatan menahan empat lelaki yang didakwa menyerang dua pekerja lelaki kerana berpuasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua mangsa dipukul dengan tongkat oleh majikan mereka dan seorang pekerja lain.

Shamsul berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di rumah majikan mereka di Bukit Tinggi, Klang.

Majikan juga didakwa mengambil sepucuk pistol dari salah seorang mangsa dan mengacukan ke arah mereka sambil mengancam serta menghina pekerja berkenaan.

Polis hari ini memperoleh perintah remah terhadap keempat-empat lelaki tersebut yang sedang disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk serangan dan ancaman jenayah

“Ini bukan masalah perkauman,” kata Shamsul.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial dan berkongsi kenyataan provokatif yang boleh mendatangkan sensitiviti perkauman. – 15 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen