Jangan sembunyi kes Covid-19 di sekolah Setia Alam, kata ibu bapa


Alfian Z.M. Tahir

Ibu bapa berkata mereka masih belum dimaklumkan dengan maklumat yang betul berhubung kes berkenaan dan bimbang nasib anak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2021.

IBU bapa menuntut agar lebih banyak maklumat berhubung kes terbaharu Covid-19 di sekolah rendah di Setia Alam, Selangor selepas tiga pelajar dari kelas berasingan disahkan positif pada hujung minggu lalu. 

Bercakap kepada The Malaysian Insight, ibu bapa berkata mereka masih belum dimaklumkan dengan maklumat yang betul berhubung kes berkenaan, dan mereka bimbang dengan nasib anak-anak mereka. 

Malah ada yang mempersoalkan mengapa Sekolah Kebangsaan Setia Alam masih dibuka walaupun kira-kira 30 rang guru diarahkan untuk kuarantin kendiri dan menjalani ujian saringan.

Murid yang terlibat dikatakan dalam Tahun Dua, Lima dan Enam.

Bilik darjah tiga pelajar terbabit telah ditutup untuk kerja pembersihan dan sanitasi manakala pelajar dari kelas ini diminta melakukan kuarantin kendiri dan melakukan ujian calitan hari ini. 

Terdapat 120 orang guru dan kira-kira 2,000 murid di sekolah berkenaan. 

“Kami tidak dimaklumkan mengenai kes terbaharu ini. Apa yang kami tahu terdapat tiga pelajar dari tiga kelas berasingan yang disahkan positif.

“Kami bergantung daripada maklumat khabar angin. Satu akan cakap ini dan yang lain akan cakap benda lain. Kami tidak pasti mana satu mahu dengar kerana tiada kenyataan rasmi daripada pentadbir sekolah,” kata ibu bapa yang enggan identiti didedahkan.

Seorang lagi ibu bapa berkata mereka juga perlukan lebih banyak maklumat mengenai tiga pelajar yang dijangkiti kerana ramai pelajar Melayu di sekolah itu menghadiri Kelas Kafa di tempat lain, yang akan meningkatkan risiko jangkitan. 

“Itu sebabnya kami perlu tahu, Tiga pelajar terbabit mungkin ke sekolah Kafa tapi kami mahu tahu sekolah Kafa yang mana.”

The Malaysian Insight juga difahamkan kebanyakan ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah selepas mengetahui mengenai jangkitan tiga pelajar terbabit.

Menurut ibu bapa, guru menggabungkan kelas kerana tidak ramai pelajar yang hadir ke sekolah. 

“Saya rasa sekolah perlu mengambil langkah drastik dengan menutupnya buat sementara. Selepas semua ujian dibuat dan pengesahan selesai, sekolah boleh buka semula,” kata seorang ibu bapa. 

Ada maklumat adalah rahsia

Sementara itu Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Zairul Ermady Mohd Shahali berkata sekolah mempunyai garis panduan yang perlu diikut dalam kes sebegini, dan menambah mereka tidak dapat mendedahkan maklumat tanpa kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah. 

“Sekolah mempunyai garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian. Ia perlu melalui beberapa saluran sebelum mereka boleh kongsikan maklumat kepada ibu bapa dan sekolah tidak boleh buat pilihan untuk tutup. Ia perlukan kebenaran pejabat pendidikan daerah. 

“Bagaimanapun, setakat yang saya tahu pihak sekolah sudahpun berkongsikan maklumat yang diperlukan. Contohnya kelas mana yang terlibat dan pelajar dari kelas mana yang perlu dikuarantin. 

“Maklumat ini diberikan kepada wakil kelas setiap hari. Apa lagi yang sekolah boleh kongsikan? Ada sesetengah maklumat adalah rahsia.” –  15 April, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen