Usaha China bendung Covid-19 cetus peluang kerjasama global


China berjaya mengawal kes baharu dan import, sehingga memulihkan kehidupan masyarakat dan ekonomi, selepas pembukaan semula bandar Wuhan. – Gambar EPA, 14 April, 2021.

JURNAL perubatan profesional Britain, The Lancet menerbitkan ulasan bertajuk “Usaha China Bendung Wabak Covid-19 Sediakan Peluang Kerjasama Global”, yang mengimbau kembali pengalaman China dalam mencegah dan mengawal wabak tersebut.

Menurut jurnal itu China berjaya mengawal kes baharu dan import, sehingga memulihkan kehidupan masyarakat dan ekonomi, selepas pembukaan semula bandar Wuhan.

Meskipun masih terdapat kes sporadik, namun dapat dikawal dengan berkesan, jelas artikel itu.

The Lancet turut menyentuh mengenai iktibar yang boleh diambil ilmuwan antarabangsa daripada usaha pencegahan dan kawalan yang dilaksana China.

Artikel itu menyatakan China melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk dalam pemeriksaan pesakit dan mengenakan kuarantin terhadap semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

Tambahan lagi, saranan China kepada rakyatnya supaya tidak mengadakan aktiviti pelancongan mendapat kerjasama padu semua lapisan masyarakat yang yakin dengan kemampuan kerajaan.

The Lancet berpendapat kerjasama lebih berkesan berbanding perdebatan dalam sains dan kesihatan.

Kini, apa yang diperlukan dunia untuk mendepani cabaran tatkala wabak masih merebak ialah respons serta kerjasama pelbagai negara, dan sekarang bukan masa untuk bertelagah. – Bernama, 14 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen