Jokowi larang menteri anjur majlis buka puasa bersama


Umat Islam Indonesia menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Depok, Indonesia. – Gambar EPA, 14 April, 2021.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo mengarahkan semua menteri kabinetnya untuk tidak menganjurkan majlis berbuka puasa bersama sepanjang bulan Ramadan ini dan seterusnya tidak juga mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.

Arahan itu dihebahkan oleh jurucakap presiden Fadjroel Rachman melalui media sosial.

“Presiden @jokowi memberikan arahan kepada Kabinet Indonesia Maju, semua kementerian/lembaga, untuk tidak mengadakan acara buka puasa bersama dan open house pada Ramadan dan Aidilfitri 1442H/2021M,” tulisnya di Twitter dan Instagram.

Fadjroel menjelaskan larangan itu bertujuan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Dalam hebahannya, Fadjroel juga menyeru semua pihak untuk terus berdisiplin mematuhi tatacara mencegah Covid-19, yang disebut 5M iaitu memakai pelitup muka, mencuci tangan, menjaga jarak, membatasi pergerakan dan interaksi, serta menjauhi kerumunan.

Kerajaan Indonesia minggu lalu mengumumkan larangan pergerakan balik kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang ditetapkan kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian.

Larangan ini turut dikenakan ke atas semua pegawai kerajaan, anggota polis dan tentera, kakitangan dan pegawai syarikat milik kerajaan, serta pekerja swasta.

Setakat semalam, Indonesia mencatatkan keseluruhan 1,571,824 kes positif Covid-19 dengan 42,656  atau bersamaan 2.71% kematian. – 14 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen