Pendaftaran vaksin rendah sebab prosesnya lembap, kata Adun Selangor


Daripada 31,776 janji temu dikirimkan melalui aplikasi MySejahtera dan SMS, 18,215 tidak memberi maklum balas sementara 12,218 mengesahkan slot mereka dan 343 menolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

KERAJAAN mesti meningkatkan proses vaksinasi Covid-19 untuk menggalakkan lebih ramai rakyat mendaftar dan bukan sekadar mengeluh akan kurangnya maklum balas untuk pendaftaran, kata wakil rakyat Selangor Rajiv Rishyakaran.

Adun Bukit Gasing berkata kerajaan misalnya boleh membenarkan rakyat memilih dan menentukan waktu janji temu untuk divaksin dan bukannya hanya menunggu untuk kerajaan memberikan masa tersebut.

“Jelas bahawa kaedah sekarang ‘daftar hasrat anda’ untuk divaksin dan waktu janji temunya akan ditentukan kemudian melalui SMS atau makluman gagal teruk.

“Semua usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mendaftarkan orang ramai di pasar dan di tempat awam jadi sia-sia.

“Daripada hanya mendaftar hasrat, seperti yang berlaku sekarang, Khairy mesti membenarkan orang ramai menempah masa dan tarikh mereka. Ini masanya untuk mengambil serius perkara ini jika kita mahu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rajiv mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang berkata lebih separuh daripada mereka yang layak untuk vaksinasi di bawah program fasa kedua gagal menyahut waktu janji temu mereka.

Daripada 31,776 janji temu yang dikirimkan melalui aplikasi MySejahtera dan sistem pesanan ringkas (SMS), 18,215 tidak memberi maklum balas sementara 12,218 mengesahkan slot mereka dan 343 menolak.

Jelasnya, kaedah dicadangkan, iaitu memberi ruang kepada orang ramai memilih tarikh dan masa yang sesuai dengan mereka, sama dengan sistem janji temu yang sudah dipakai termasuk di pelbagai agensi kerajaan.

Sistem janji temu di beberapa kaunter agensi kerajaan misalnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Jabatan Pendaftaran Negara kini menggunakan sistem tempahan tarikh dan masa secara dalam talian.

Sistem itu diperkenalkan sejak setahun lalu selepas kerajaan mengenakan pelbagai sekatan bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut Rajiv, kaedah ini masuk akal kerana MySejahtera adalah aplikasi mengikut lokasi dan ia tentu boleh menunjukkan klinik atau pusat vaksinasi yang terdekat dengan seseorang.

“Malah Kementerian Kesihatan juga sudah ada sistem janji temu seperti itu untuk berjumpa doktor atau hanya mengambil ubat di klinik kesihatan serta klinik swasta melalui qmed.asia/booking.

“Hairan, kerajaan tidak mahu menggunakan teknologi sedia ada untuk melicinkan proses (vaksinasi Covid-19),” katanya.

Rajiv berkata sambutan yang rendah begini ketika negara sedang masuk ke fasa kedua program vaksinasi akan melambatkan usaha mencapai 70% penduduk divaksin iaitu kadar diperlukan untuk sampai ke peringkat imuniti kelompok.

Beliau mengingatkan proses memvaksin rakyat ini kerja berlumba dengan masa, dan apa yang diperlukan ialah langkah proaktif untuk memperbaiki proses.

Rajiv bertanya sampai bila kitaran orang menolak waktu janji temu dan diberikan waktu baharu akan berterusan.

“Ini bukan hanya akan menyulitkan sistem rawatan kesihatan tetapi memanjangkan tempoh menunggu bagi fasa yang berbeza,” katanya.

Beliau menyeru Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk membetulkan sistem pendaftaran ini demi manfaat semua pihak yang terlibat. – 14 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen