KERAJAAN Kelantan akan membayar RM1.5 juta sebagai sagu hati dan memulangkan bayaran sewa tapak kepada peniaga selepas memutuskan pembatalan penganjuran bazar Ramadan.
Langkah itu diumumkan ekoran kecaman yang timbul selepas kerajaan Kelantan mengumumkan pembatalan penganjuran bazar bagi mengekang peningkatan semula kes Covid-19 di negeri itu.
Laporan Berita Harian yang memetik kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Izani Husin, bayaran tersebut melibatkan 2,500 peniaga yang berdaftar.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing akan menghubungi peniaga bazar berdaftar tersebut untuk menyalurkan bayaran.
“Kita berharap sedikit sagu hati ini dapat meringankan beban sesetengah mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan pulangan modal.
“Manakala bahan mentah sudah dibeli itu boleh digunakan untuk berniaga di tempat lain,” katanya.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa tidak akan mengganggu sekiranya kalangan pengusaha ingin membuka gerai di tepi jalan tetapi menggesa mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Jika pihak PBT membuat rondaan atau pemantauan dan mendapati tiada pematuhan, saya rasa tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan,” katanya.
Menurut laporan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan membenarkan semua penganjuran bazar, namun kerajaan negeri bimbang kes akan kembali meningkat.
“Walaupun gembira dengan penurunan kes, semalam, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 masih tinggi dan dijangka terus meningkat.
“Justeru, kita bimbang status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Tambahnya, sekiranya kes tidak terkawal, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuasa mengisytiharkan penguatkuasaan PKP pada bila-bila masa.
“Ini bukan satu ugutan tetapi kenyataan kerana apabila PKP dilaksanakan, semua orang susah dan ekonomi merudum, malah kerajaan juga sengsara mencari jalan untuk membantu rakyat,” katanya.
Keputusan berkenaan yang diumumkan pada Ahad lalu menimbulkan rungutan peniaga yang dilaporkan mengalami kerugian kerana tidak dapat berniaga di bazar yang disediakan PBT.
Pada masa sama, timbul rungutan mengenai kesesakan lalu lintas apabila pengusaha mendirikan gerai di tepi jalan. – 14 April, 2021.
Komen