PEMBUKAAN semula pelbagai sektor ekonomi di negara ini sejak beberapa bulan lalu menyaksikan lebih banyak jangkitan Covid-19 dalam kalangan golongan muda antara umur 20 hingga 39 tahun, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).
Dari 1 Januari hingga 6 April, 2021, individu berusia antara 20 hingga 29 tahun membabitkan 68,500 kes (28.5%), sementara 70,222 kes golongan berusia 30 hingga 39 tahun (30%).
Setakat 6 April, Malaysia merekodkan 240,319 kes dan golongan muda adalah 58.5% daripada jumlah itu atau 14,728 kes.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata terdapat dua faktor utama menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan belia: jangkitan di tempat kerja dan warga emas mengambil langkah pencegahan lebih baik untuk melindungi diri.
“Sepanjang tempoh ini, kluster tempat kerja meningkat, termasuk jangkitan dalam kalangan pekerja warga asing, tetapi mereka masih perlu bekerja dan berhubung dengan kumpulan ini.
“Kedua, selepas pandemik tercetus, warga emas selalu diingatkan mereka kumpulan berisiko tinggi, jadi mereka sudah biasa mengambil langkah pencegahan untuk melindungi diri,” katanya.
Pakar jangkitan biologi, Lim Chee Han berkata kebanyakan pesakit muda dijangkiti Covid-19 dari tempat kerja.
“Mereka di bawah usia 20 mungkin tidak bekerja, sementara di atas 50 tidak bekerja atau kurang keluar rumah, jadi risiko jangkitan untuk mereka biasanya rendah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Data dari portal kesihatan CodeBlue menunjukkan 25.2% warga emas dijangkiti Covid-19 pada gelombang kedua wabak.
Kali ini, mereka yang berusia 50 tahun ke atas mencatatkan penurunan iaitu 14.2%.
“Mereka yang tidak lagi bekerja dari rumah mungkin tidak sengaja membawa pulang virus itu bersama mereka, di mana itu akan membawa kepada lebih banyak jangkitan,” kata Lim.
Beliau berkata dengan pembukaan semula pelbagai sektor termasuk sekolah, angka Covid-19 di seluruh negara kekal tidak berubah, dan tidak mencatatkan penurunan yang ketara.
“Saya bimbang kita akan melihat lebih ramai individu pelbagai peringkat umur, terutama kalangan 20-an, dijangkiti.” – 14 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen