190 kes Covid-19 dikesan dalam 9 kluster baharu, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Sebanyak sembilan kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam terakhir dan melaporkan 190 kes setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti sembilan kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir yang melaporkan 190 kes setakat ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata daripada sembilan kluster itu, empat berkaitan dengan tempat kerja, tiga berkaitan komuniti, satu berkaitan agama dan satu pusat tahanan.

Kuala Lumpur dan Sabah masing-masing melaporkan dua kluster sementara Putrajaya, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor masing-masing melaporkan satu kluster.

Noor Hisham berkata kluster tempat kerja Jalan Puncak Borneo yang dikesan di sebuah pusat latihan di Kuching, Sarawak melaporkan 61 kes positif.

Kluster tempat kerja Jalan Raja Laut, Jalan Hishamudin dikesan di Kuala Lumpur dan masing-masing melaporkan 20 serta sembilan kes.

Jalan Wawasan, kluster tempat kerja terakhir yang dikesan di pusat pentadbiran awam di Putrajaya melaporkan 11 kes.

Daripada tiga jangkitan komuniti, dua kluster dikesan di Sabah dan satu di Melaka.

Noor Hisham berkata kluster Kampung Gayang di Tuaran yang disebabkan oleh perjumpaan sosial menyumbang 23 kes sementara kluster Tabanak di Lahad Datu melaporkan 15 kes.

Kluster Taman Malim Jaya yang dikesan di daerah Melaka Tengah dan Jasin, Melaka melaporkan 13 kes positif.

Di Negeri Sembilan, kluster Jalan Bukit Belida di Seremban yang berkaitan dengan pusat keagamaan melaporkan 15 kes positif koronavirus.

Noor Hisham berkata kluster Jalan Salleh yang dikesan di pusat tahanan di Muar, Johor melaporkan 23 kes positif Covid-19.

Sebanyak sembilan kluster baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster virus di negara ini 1,478 di mana 344 masih aktif di mana 62 aktif melaporkan kes baharu.

Kluster yang melaporkan sebilangan besar kes hari ini adalah tapak pembinaan Persiaran Cybersouth dengan 137 kes diikuti oleh Jalan Puncak Borneo (60 kes) dan Jalan Bambangan (47 kes) yang baru dikesan.

Noor Hisham berkata sebanyak 10 kluster disahkan tamat hari ini menjadikan jumlah kluster menjadi 1,134. – Bernama, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen