India lulus vaksin Sputnik V


India meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Sputnik V buatan Rusia. – Gambar AFP, 13 April, 2021.

INDIA meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Sputnik V buatan Rusia, menurut pengeluar ubat-ubatan terkemuka negara itu hari ini.

Vaksin Sputnik V adalah vaksin ketiga yang diluluskan, selepas vaksin Oxford-AstraZeneca dan Covaxin, yang dibangunkan firma India Bharat Biotech.

Kelulusan itu sebagai usaha menyokong program imunisasi kebangsaan susulan peningkatan kes di India, kata Pengerusi Bersama Dr Reddy’s Laboratories, G V Prasad.

“Kami amat berbesar hati mendapat kelulusan bagi penggunaan kecemasan vaksin Sputnik V di India.

“Dengan peningkatan kes direkodkan sekarang, vaksinasi adalah kaedah paling efektif untuk melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes Covid-19 di India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk melonjak ketara sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan menyekat pergerakan serta aktiviti.

Semalam sahaja, negara itu merekodkan lebih 161,000 kes baharu. Lebih 100,000 kes dilaporkan selama tujuh hari berturut-turut.

Sputnik V, yang disokong oleh Dana Pelaburan Langsung Russia (RDIF), meterai perjanjian pengeluaran dengan India untuk menghasilkan 852 juta dos vaksin.

Ketua Eksekutif RDIF Kirill Dmitriev dalam satu kenyataan berkata kelulusan itu penanda aras penting selepas kerjasama meluas dalam ujian klinikal yang dijalankan di India.

India memulakan program imunisasi Covid-19 pada pertengahan Januari lalu, dan setakat ini lebih daripada 10.8 juta penduduknya sudah disuntik vaksin.

Bagaimanapun, hasrat kerajaan untuk memastikan 300 juta rakyatnya menerima vaksin menjelang akhir Julai terjejas ekoran kekurangan stok di beberapa negeri dan keraguan terhadap tahap keselamatannya.

Kerajaan India juga mengurangkan eksport vaksin Covid-19 ke luar negara susulan peningkatan kes secara mendadak. – AFP, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen