DAP tidak mungkin akan bekerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Anthony Loke.
“DAP lawan Umno berpuluh tahun, hari ini hendak duduk bersama sesuatu yang amat payah untuk memulakan proses itu (kerjasama). Jadi, ia mesti ada satu mind block,” kata setiausaha organisasi DAP itu ketika diwawancara felo Majlis Profesor Negara Dr Muhammad Asri Mohd Ali, dalam program Bicara Tokoh.
Malah sukar untuk menilai sama ada penyokong DAP yang majoritinya bukan Melayu dapat menerima kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang digulingkan pada 2018, tambahnya.
“Penyokong ataupun pengundi ada respons yang pelbagai. Ada yang kata patutnya kita terokai kerjasama seperti ini, ada yang kata, mana boleh terima?
“Kita lawan bersungguh-sungguh pada pilihan raya umum lepas nak jatuhkan Umno dan BN, sekarang nak angkat balik Umno jadi kerajaan, tak boleh terima sama sekali.
“Atas kertas nampak mudah, tetapi perlu lebih banyak perincian. Yang penting adakah rakyat akan menerima? Adakah penyokong masing-masing menerima? Itu persoalannya.
“Jadi itu sesuatu yang saya rasa, kemungkinan untuk kerjasama dalam PRU15 masih tidak ada,” kata Loke.

Loke berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP, PKR dan Umno dapat membentuk pakatan pilihan raya dengan formula 543.
Formula 543 berdasarkan Umno dijangka menang 50 kerusi, manakala DAP dan PKR masing-masing 40 dan 30, lantas memberi ketiga-tiga parti itu 120 majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.
Ahli Parlimen Seremban bagaimanapun berkata semua parti politik sedar sukar untuk menang kerusi majoriti atau membentuk kerajaan secara sendirian.
“Saya dah awal-awal kata DAP tidak boleh bersendirian, tidak mungkin akan menubuhkan kerajaan. Itu fakta.
“Jadi dalam konteks di Malaysia, kalau mana-mana parti yang berharap boleh menjadi mainstream dalam politik negara, boleh bentuk kerajaan, maka perlu ada kerjasama dengan parti-parti lain.
“Maka timbullah pendekatan (dalam PH) bahawa kita sepatutnya menjadi satu ‘khemah besar’, iaitu satu gabungan besar yang boleh menerima dan bekerjasama dengan parti-parti lain.
“Tetapi dengan syarat mesti mendukung prinsip dan agenda yang sama iaitu good governance (tadbir urus baik), melawan rasuah, dan adil dari segi sosio ekonomi .
“Dan kita ada beberapa garis panduan, red line iaitu bahawa kita tidak boleh bekerjasama dengan individu yang jelas ada kes rasuah dan sebagainya. Jadi itu adalah red line nya,” jelas Loke. – 13 April, 2021.
Komen