Pandangan Ronnie Liu bukan mewakili DAP, kata Loke


Chan Kok Leong

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata kenyataan Ronnie Liu bukan pandangan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

HALA tuju DAP mesti berdasarkan kepada kepelbagaian kaum dan bukannya satu kaum sahaja, kata Anthony Loke semasa wawancara secara langsung dengan Majlis Profesor Negara di Facebook hari ini.

“Ini berdasarkan konteks Malaysia sebagai asas,” kata Loke ketika ditanya mengenai kenyataan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu yang parti itu tidak patut mencairkan “kecinaannya” untuk memperoleh undi orang Melayu.

Loke berkata itu adalah pandangan peribadi Liu dan tidak mewakili DAP secara keseluruhan.

“Beliau tidak mewakili semua DAP. Pendapatnya hanya mewakili dirinya dan sebahagian parti sahaja,” kata setiausaha organisasi DAP.

Bagaimanapun, Liu bebas menyuarakan pandangannya kerana DAP terbuka terhadap kritikan, tambah ahli Parlimen Seremban itu.

“Tetapi kepimpinan percaya pada pelbagai kaum dan oleh itu ada perdebatan dalam parti sekarang,” kata Loke.

“Walaupun, ada usaha menjatuhkan kami dalam pemilihan DAP (pada Jun), kita memiliki kewajiban untuk menjelaskan kepada para perwakilan mengapa kita berbilang kaum dan tidak percaya hanya kepada sokongan satu kaum sahaja.”

Liu menarik perhatian apabila dilaporkan mendesak parti menolak “merendahkan” dirinya untuk mendapatkan lebih banyak undi orang Melayu.

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti tidak perlu mencairkan ‘kecinaannya’ hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita,” kata ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP semasa pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang pada Ahad.

“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak seharusnya menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina. – 13 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen