PERSATUAN Hospital Swasta (APHM) menggesa Putrajaya untuk membenarkan hospital swasta berada dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 bagi memberi bantuan lanjut kepada kerajaan dalam menguruskan agihan suntikan vaksin.
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata hospital swasta boleh memberi sumbangan dan perlu dimasukkan dalam pelbagai jawatankuasa kerajaan yang memantau bekalan dan keselamatan ketika vaksin diberikan di negara ini.
Dr Kuljit berkata walaupun hospital swasta bersyukur dimasukkan sebagai pusat vaksinasi, beliau tetap menggesa kerajaan membenarkan mereka mendapatkan bekalan sendiri.
“Program imunisasi akan lebih kukuh bila hospital swasta boleh mendapatkan vaksin sendiri untuk petugas barisan hadapan ekonomi dan orang awam yang mahu menerima suntikan awal bagi tujuan tertentu.
“Kerajaan akan perlu membantu kami dalam proses ini, khususnya ketika berurusan dengan pengeluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin bulan lalu berkata kerajaan akan membenarkan penyedia penjagaan keshatan swasta untuk rundingan bagi mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 mereka sendiri.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka hanya dibenarkan berbuat demikian pada pertengahan tahun 2021.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam mengumumkan hospital swasta akan digunakan sebagai pusat vaksin bagi fasa kedua dan ketiga program imunisasi.
Langkah itu akan melihat kerajaan memperuntukkan vaksin percuma kepada hospital swasta bagi meluaskan lagi akses orang awam kepada vaksin.
Dr Kuljit berkata strategi vaksin perlu disemak semula untuk memperkasakan proses pemberian suntikan vaksin.
“Individu berisiko tinggi dalam fasa kedua tidak sepatutnya terpinggir tetapi pada masa sama penerima fasa ketiga perlu dipertimbangkan untuk mendapatkan suntikan awal,” katanya.
Fasa kedua program imunisasi akan bermula 19 April, dengan keutamaan diberi kepada individu berusia 60 tahun ke atas, individu kurang upaya dan menghidap penyakit kronik. Bagi fasa ketiga yang akan bermula pada Mei, mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan diberi suntikan. – 13 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen