Suruhanjaya Pasukan Polis lebih tinggi dari KPN, kata Hamzah


Mohd Farhan Darwis

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kedudukan Suruhanjaya Pasukan Polis lebih tinggi daripada individu walaupun kedua-duanya menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2021.

MENTERI Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainuddin menafikan beliau mencampuri urusan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador dalam isu penangguhan pertukaran pegawai kanan polis.

Hamzah sebaliknya menegaskan, tindakannya itu selari dengan jawatan pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis yang disandangnya.

Suruhanjaya pasukan polis lebih tinggi dari KPN, kata Hamzah"Saya tak campur urusan polis, saya minta maaf kalau ada orang katakan itu. Jelas saya pengerusi suruhanjaya pasukan polis, kalau ada keputusan itu keputusan suruhanjaya. 

“Ya saya menteri tapi saya pengerusi (suruhanjaya) itu keputusan majoriti, saya ikut keputusan majoriti,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi meja bulat berkaitan isu kalimah Allah di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kedudukan suruhanjaya lebih tinggi daripada individu walaupun kedua-duanya menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“(Jawatan) suruhanjaya pasukan polis paling tinggi kerana dilantik oleh Agong. Ya KPN terima watikah daripada Agong, suruhanjaya kedudukannya lebih tinggi daripada KPN kerana segala keputusan dibuat dalam satu majlis berbanding seorang individu,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau mencampuri urusan KPN dalam isu tersebut.

Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hamzah berkaitan isu itu.

Beliau berkata, perjumpaan itu bagi menjelaskan tentang kedudukan serta kuasanya selaku KPN.

Hamzah bagaimanapun enggan mengulas sama ada pertemuan itu akan berlangsung.

“Tapi keputusan itu (pertukaran pegawai kanan polis) kadang ada khilafnya. Ada yang terima cara lain, yang penting keputusan itu harus dilihat keputusan Suruhanjaya pasukan polis,” kata Hamzah lagi. – 10 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen