TUN Faisal Ismail Aziz mengajak Ahmad Zahid Hamidi sama-sama bersumpah dengan nama Allah untuk membersihkan nama mereka masing-masing berhubung rakaman perbualan telefon presiden Umno itu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bekas timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya itu mencadangkan mereka mengangkat sumpah bersama-sama di Surau Ar-Rahman, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas solat Jumaat pada 16 April ini.
“Semoga nama kita berdua dapat dibersihkan dan Umno dapat kembali bersatu dan berada di landasan sebenar perjuangan,” kata Tun Faisal dalam jemputan terbuka kepada Zahid melalui Facebook, hari ini.
Tun Faisal membuat jemputan tersebut selepas beliau dituduh dalam mencipta rakaman tersebut dan memfitnah Zahid, termasuk isu surat sokongan ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada Anwar untuk jadi perdana menteri.
Tuduhan terhadap Tun Faisal disebarkan dalam kalangan ahli Umno antaranya melalui WhatsApp. Tuduhan itu menamakan Tun Faisal dan beberapa orang lain termasuk seorang exco Pemuda Umno sebagai pihak yang mencipta dan menyebar rakaman perbualan itu.
“Atas sebab itu, saya ingin mengajak Yang Berhormat Datuk Seri untuk bersumpah bersama-sama dengan saya supaya kita dapat membersihkan nama masing-masing seperti yang dianjurkan oleh Allah dan RasulNya.
“Selain membuat laporan polis untuk menyiasat kesahihan audio ini yang akan mengambil sedikit masa, bersumpah atas nama Allah setidak-tidaknya boleh meredakan kecaman terhadap Yang Berhormat Datuk Seri,” katanya.
__full.jpg)
Dalam jemputannya, Tun Faisal turut mencadangkan teks sumpah yang akan masing-masing mereka lafazkan nanti.
Bagi dirinya, teks sumpah atas nama Allah itu menyebut beliau tidak terlibat merakam atau mencipta rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar, serta tidak pula terlibat menyebarnya.
Tun Faisal juga akan bersumpah bahawa surat sokongan Zahid kepada Anwar untuk jadi perdana menteri, yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Oktober lalu, benar dan wujud.
Sementara itu, teks lafaz sumpah Zahid pula akan menafikan suara dalam rakaman perbualan itu bukan suaranya dan adalah rekaan semata-mata.
Zahid juga diminta bersumpah beliau tidak pernah berbual dengan Anwar seperti yang terkandung dalam rakaman itu.
Beliau juga diminta bersumpah tidak menandatangani surat sokongan untuk Anwar jadi perdana menteri.
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional Annuar Musa sebelum ini mendedahkan bahawa surat tersebut bukan palsu, seperti yang pernah dinafikan oleh ibu pejabat Umno ketika ia tersebar.
Surat itu tersebar selepas Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pertengahan Oktober 2020.
Tun Faisal, yang juga setiausaha akhbar kepada Annuar, juga berkata Zahid menipu perwakilan Umno di perhimpunan agung parti apabila tidak bercakap benar tentang hubungan dan perbincangan politiknya dengan Anwar.
Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 27 Mac menggantung keahlian Tun Faisal dalam Umno selama enam tahun atas kesalahan membuat kenyataan terbuka mengkritik parti dan melanggar etika parti.
Beliau merayu keputusan itu yang disifatkannya tidak adil dan didalangi oleh musuh politiknya. – 12 April, 2021.
Komen