Teka-teki bila PRN Sarawak akan diadakan


Desmond Davidson

Tarikh PRN Sarawak terus menjadi teka-teki dan ada yang percaya jumlah kes harian Covid-19 yang terus meningkat akan sama sekali menggagalkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya.

PANDEMIK Covid-19 dan darurat bukan sahaja menyebabkan kekacauan terhadap perancangan pilihan raya di Sarawak, ia juga mencetuskan kembali perkara dahulu -  meneka bila pilihan raya akan diadakan.

Tanya sahaja sesiapa bila pilihan raya negeri ke-12 akan diadakan dan jawapannya berbeza seperti etnik negeri. Tekaan mereka sekitar mulai sekarang sehingga akhir tahun.

Malah ada yang percaya bahawa jumlah kes harian Covid-19 yang terus meningkat akan sama sekali menggagalkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya dan Putrajaya akan mengambil alih pentadbiran sehingga wabak itu berakhir.

Pada Jumaat lepas, jumlah kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 555, jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

Tarikh matang Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada 6 Jun dan selepas itu secara automatik akan dibubarkan jika tidak ada pilihan raya diadakan.

Bila pilihan raya akan diadakan menjadi rahsia Ketua Menteri, Abang Johari Openg tetapi tanda-tandanya itu sudah semakin jelas sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah melakukan “lawatan kerja” dua hari ke negeri itu minggu lalu dan penampilan umum Abang Johari semakin dilihat sejak beliau menyelesaikan vaksinasi Covidnya.

Menteri dan timbalan menteri Persekutuan seperti Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  Zuraida Kamaruddin serta Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin juga telah mengambil bahagian dalam program Malaysia Prihatin (Malaysia Cares) yang dibiayai Persekutuan di semua bahagian negeri.

Akauntan Josh John berkata “tekaan liarnya” adalah pilihan raya akan diadakan pada Julai.

Beliau membuat tekaan berdasarkan bendera yang dipasang oleh empat parti GPS sebagai persiapan untuk pilihan raya.

“Mungkin pada Julai, sebelum jangka hayat bendera ini berakhir. Bendera ini mempunyai jangka hayat,” katanya.

John berkata selepas Julai bendera ini akan menjadi cebisan kain “koyak dan tidak berguna”.

Bagi peguam Desmond Kho, “firasatnya” mengatakan bahawa pilihan raya akan berlaku tepat selepas Gawai – festival menuai padi kaum Dayak yang jatuh pada 1 Jun setiap tahun.

Kho berkata antara pemerhatian utama firasatnya itu adalah pelancaran program “Prihatin”.

Bekas pemimpin pemuda PKR Sarawak Simon Siah berpendapat pilihan raya tidak akan diadakan sehingga darurat berakhir. Mengadakan pilihan raya ketika ini akan bertentangan dengan kepentingan GPS, katanya.

Siah berkata kawasan yang paling terjejas dijangkiti wabak kini adalah kawasan luar bandar – kubu kuat GPS.

“Dengan banyaknya SOP yang ada, jentera (pilihan raya) mereka mungkin tidak dapat bergerak dengan efektif.

“Oleh itu mereka (GPS) kemungkinan akan memastikan kebanyakan orang Sarawak diberi vaksin sebelum mengadakan pilihan raya.

“Sebab itu sasaran untuk (menyelesaikan) vaksinasi di Sarawak adalah pada Ogos,” katanya.

Siah berkata sekiranya Abang Johari mengetepikan wabak itu dan meminta pilihan raya diadakan, ia akan jadi “cara baik” bagi gabungan kerajaan kerana pengundi dan petugas pilihan raya Pakatan Harapan dari semenanjung tidak akan dapat memilih atau membantu dalam kempen.

“Tetapi (sekali lagi) tidak ada kepastian bahawa pengundi di kawasan luar bandar juga bersedia keluar dan mengundi.

“Sekiranya mereka perlu mematuhi SOP, berapa ramai orang yang dapat mereka bawa di dalam van yang akan dibawa ke pusat mengundi,” katanya.

Siah berkata peruntukan untuk pelbagai pihak akan meningkat sekiranya mereka perlu menyewa lebih banyak van atau kapal.

“Saya sudah berkempen di bandar dan kampung…di kampung, logistik sangat, sangat penting. Dan berdasarkan bagaimana BN (Barisan Nasional) pernah berkempen pada masa lalu, SOP semasa seperti ini akan menjadi sangat sukar bagi mereka,” katanya.

Spekulasi muncul bahawa GPS mahu pilihan raya diadakan pada Oktober.

Kenaikan mendadak dalam kes Covid-19 mengurangkan keyakinan mereka.

“Walaupun saya menjadi ketua menteri, saya tidak akan berani mengadakan pilihan raya ketika ini. Semuanya sangat tidak pasti,” katanya.

Pada akhir pilihan raya pada tahun 2016, BN Sarawak ketika itu – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan rakan pro BNnya Parti Rakyat Bersatu (UPP) – memenangi 72 kerusi dari 82 kerusi dewan undangan negeri.

PBB mendapat kerusi terbanyak dengan 39, PRS (11), SUPP (7), PDP (4) dan UPP (4).

Dalam penjajaran semula politik yang berlaku dalam lima tahun sejak itu, GPS dibentuk selepas empat parti komponen BN dari Sarawak umum keluar dari gabungan tersebut dan kerusi mereka dikurangkan kepada 68 ekoran penarikan UPP – yang dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

DAP memegang tujuh kerusi dan dari tiga kerusi yang dimenangi oleh PKR Sarawak, dua daripadanya ke PSB dan satu untuk Bersatu. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen