ANAK sulung Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah melepaskan jawatan sebagai ahli Perbadanan SME Corp.
Perkara itu diumumkan Nurulhidayah sendiri di Instagram malam tadi, disertai surat peletakan jawatan bertarikh 6 April kepada Menteri Pembangunan Usahawan Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Jawatan yang dilantik saya sukarela lepaskan.
“Jawatan yang dipilih atas pemilihan yang sah, wajib dipertahankan!
“Soalan saya, Siapa yang tak ada ‘telor’ sekarang?” katanya.
Nurulhidayah tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya namun dibuat ketika Zahid ditekan supaya berundur dari jawatan presiden Umno susulan penyebaran rakaman perbualan mirip suaranya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara mirip Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas perhimpunan agung Umno bocor di media sosial. Zahid dan Anwar menafikan rakaman audio itu suara mereka.
Keputusan Nurulhidayah melepas jawatan juga dibuat selepas Umno pada perhimpunan agung 28 Mac lalu muktamad untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Beliau dilantik sebagai ahli Perbadanan SME Corp, iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, pada 4 Januari . – 10 April, 2021.
Komen