Tak mustahil Umno bersama DAP, PKR selepas PRU15, kata Nur Jazlan


Ravin Palanisamy

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata kestabilan politik di Malaysia boleh dicapai dengan membentuk kerajaan berbilang kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 April, 2021.

UMNO terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk PKR dan DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Nur Jazlan Mohamed.

Bagi membentuk kerajaan yang stabil, Umno perlu terlebih dahulu menang sebanyak kerusi yang mungkin pada PRU15 sebelum membentuk gabungan, katanya.

“Jika Umno bergerak sendiri atau bersama Barisan Nasional (BN), maka dengan mengandaikan Umno mendapat sejumlah kerusi, kemudian kita akan tengok mana-mana parti yang setara.

“Kalau Bersatu, maka Bersatu lah. Kalau PAS, PAS lah. Tetapi kalau PKR, kita kena fikirkan (dan tidak menolak) sebab pada ketika itu akan ada beberapa parti yang setara.

Kita boleh mendapat majoriti dua pertiga, tetapi semuanya bergantung kepada keputusan pilihan raya,” kata timbalan pengerusi Umno Johor itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Nur Jazlan bagaimanapun menegaskan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 seperti yang dimuktamadkan pada perhimpunan agung parti baru-baru ini, dan seterusnya menarik diri dari menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas timbalan menteri dalam negeri itu juga berkata melabelkan DAP sebagai sosialis dan komunis juga tidak lagi relevan, malah rakyat sendiri boleh melihat kemampuan parti itu memerintah dan membangunkan negeri.

Tambahnya, kegagalan DAP di peringkat persekutuan berpunca dari kerapuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kurangnya sokongan orang Melayu.

“Prasangka bahawa DAP sebuah parti sosialis, kemudian orang melabelkannya sebagi komunis dan banyak lagi… semuanya tidak relevan kerana DAP sudah menunjukkan mereka sebenarnya  boleh mentadbir seperti yang kita lihat di Pulau Pinang, dan memainkan peranan penting di negeri-negeri seperti Selangor.

“Mereka cuma gagal di peringakat persekutuan kerana kerajaan PH yang dibentuk pada PRU14 sangat rapuh, tidak ada komponen kuat Melayu.

“Jadi, sekiranya perlu, selepas PRU15, kita akan teliti kombinasi ini dan buang semua prasangka lapuk antara satu sama lain kemudian bentuk kerajaan yang kuat, yang menumpukan perpaduan serta pembangunan negara. Bukan lagi keadaan di mana semua orang lebih menumpu kepada agama dan bangsa,” katanya.

Kegagalan DAP di peringkat persekutuan berpunca dari kerapuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kurangnya sokongan orang Melayu, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 April, 2021.

Tidak boleh hanya utamakan Melayu-Islam

Nur Jazlan, yang juga bekas ahli Parlimen Pulai, berkata kestabilan politik di Malaysia boleh dicapai dengan membentuk kerajaan berbilang kaum.

Katanya, kerajaan PN gagal menyatukan semua rakyat kerana terlalu menumpukan Melayu-Islam.

“Kita perlukan gabungan parti politik yang menyatukan semua rakyat, dan PN tidak mampu berbuat demikian kerana terlalu berlandaskan Melayu dan Islam.

“Kabinet hari ini misalnya, 80 peratus menteri Melayu-Islam.”

Berkenaan rakaman audio yang didakwa antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Nur Jazlan berkata jika ia benar sekalipun, tiada salahnya dua pemimpin parti itu mencari titik persamaan.

“Saya tak tahu sama ada rakaman audio itu sahih atau tidak. Apa yang hendak saya katakan di sini ialah, perbincangan adalah dengan sesiapa sahaja ada persamaan dengan kita.

“Kita perlu cari alternatif lain. Mencari tidak bermaksud bergabung atau bersatu.

“Kalau kita (Umno) tidak boleh sepakat dengan Bersatu, dan jika PAS juga tidak mahu dengan kita, kenapa tidak berbincang dengan parti lain untuk cari titik persamaan,” jelasnya.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu mirip suara Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas perhimpunan agung Umno bocor di media sosial.

Zahid menafikan perbualan tersebut, yang beliau sifatkan sebagai “percaturan politik yang jahat dan jijik” untuk menghancurkan Umno.

Anwar juga menafikan beliau dalam rakaman itu, dan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis. – 10 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen