SEJAK jambatan angkat dibina pada 2014, pengusaha bot tambang tradisional yang membawa penumpang menyeberang Sungai Terengganu mula berasa bimbang.
Kebimbangan itu terbukti kerana apabila jambatan canggih bernilai RM248 juta tersebut siap dan diguna secara rasmi pada Julai, jumlah penumpang bot mereka turun mendadak.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat perjalanan rentas negeri bagi menangani wabak Covid-19 seterusnya menyuramkan lagi industri tersebut.
Pemimpin persatuan ini memberitahu The Malaysian Insight, kini hanya tinggal 15 orang pengusaha yang juga menunggu masa untuk gulung tikar sekiranya tiada bantuan disalurkan.
Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Muhamad Ibrahim berkata ini kerana permintaan untuk perkhidmatan bot tambang untuk menyeberang sungai itu amat sedikit.
“Kalau tidak ada bantuan kerajaan negeri kita bimbang akan gulung tikar sebab sekarang ini penduduk tak ramai nak naik bot. Pelancong pun tak ada sebab Covid-19.
“Jadi kalau tak ada bantuan dari kerajaan negeri memang takut akan gulung tikar saja,” katanya ketika ditemui di jeti Seberang Takir.
Ia merupakan jeti utama yang digunakan bagi penumpang dari kawasan Seberang Takir dan daerah Kuala Nerus untuk menyeberang ke kawasan Tanjung di Kuala Terengganu.
Khidmat bot penambang menjadi tumpuan utama penduduk berkenaan sejak tahun 1950-an kerana jambatan untuk menyeberang Sungai Terengganu belum dibina pada masa itu.
Ia membolehkan hampir 70 bot tambang berperasi pada waktu kegemilangannya itu, kata Muhamad.
Jambatan pertama sepanjang 200 meter menghubungkan Kampung Manir dengan Kampung Pulau Rusa di hulu sungai dan dilancarkan pada 1969.
Negeri kaya dengan hasil minyak itu seterusnya berjaya membina jambatan kedua, Jambatan Sultam Mahmud sepanjang 13 kilometer yang siap pada 1990.
Jambatan ketiga menghubungkan pusat bandar di Tanjung dengan Seberang Takir itu pula siap pada 2017 dan merupakan sebahagian daripada projek Kuala Terengganu City Center.
Namun pengusaha bot penambang ini hanya melihat perkembangan tersebut dengan sayu kerana pembangunan tersebut menjejaskan pendapatan mereka.

“Dulu perkhidmatan bot penambang sangat penting bagi penduduk tempatan sebab kalau nak ke bandar, ke Pasar Payang jalan pintasnya naik botlah.
“Sekarang ini cuma tinggal 15 (pengusaha) sebab masa jambatan Sultan Mahmud dibina ramai yang jual bot, tinggal lah 30 saja.
Muhamad berkata pendapatan mereka hanya sekitar RM20 sehari berbanding RM50 sehari sebelum jambatan angkat siap dibina, dan sebelum Covid-19 merebak.
“RM20 sehari itu pun susah, kalau ada penumpang. Macam sekarang, empat atau lima buah bot saja yang jalan sehari.
“(Sebelum) jambatan angkat siap pendapatan kita dalam RM40 ke RM50 sehari dan kalau nasib baik ada yang nak keliling sungai Terengganu, kita akan caj RM70 untuk 15 orang selama sejam lebih, katanya.
Muhamad yang membawa bot penambang sejak 16 tahun lepas berkata mereka hanya menerima sekali saja bantuan insentif Covid-19 sebanyak RM400 daripada kerajaan negeri pada Mac lepas.
“Itu saja bantuan yang kami dapat. Tapi kerajaan negeri tak cakna tentang industri ini yang semakin tenat. Kita tak nampak apa rancangan untuk hidupkan kembali pelancongan memandangkan kami bergantung kepada pelancong.
“Bantuan yang kami dapat cuma RM400 itu saja. Tapi nasih baik kami dapat bantuan makanan setiap bulan dari ahli Parlimen kami Khairuddin Aman Razali, jadi bolehlah bertahan sikit.”
Industri itu juga semakin tenant kerana apabila terdapat pengusaha meninggal dunia, tiada pelapis yang sanggup menyambung usaha tersebut, katanya.
Muhamad berkata beliau percaya jika kerajaan memberikan insentif kepada pengusaha bot sepertimana dilakukan kerajaan lepas, ia akan dapat menarik minat orang muda.
Seorang lagi pengusaha bot penambang, Wan Muhamad Alif Muhaimin, 26, mengakui kebanyakan orang muda sepertinya tidak berminat untuk mewarisi perkerjaan perkhidmatan.
Beliau berkata memilih pekerjaan itu sejak lima tahun lepas kerana mahu menyambung dan mengekalkan legasi keluarga yang membawa bot tersebut.
Selain itu katanya, kesukaran mencari pekerjaan antara faktor yang menyebabkannya bersetuju untuk menjadi pemandu bot penambang.
“Sebab kerja ini warisan keluarga, dari atuk saya jadi saya nak kekalkan legasi ini.
“Tambah pula sekarang ini susah nak cari kerja, kena pergi bandar dengan kos sara hidup tinggi jadi baik saya bawa bot,” katanya.
Bagaimanapun Wan Muhamad berkata pengusaha bot tambang sepertinya kini bergelut dan terjejas pendapatan ekoran pembangunan dan pandemik Covid-19.

“Pendapatan sebenarnya sebelum Covid-19 dah merosot tapi masa Covid-19 ni makin sikit nak dapat RM20 sekarang pun susah,” katanya.
Pada masa sama anak muda itu meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri yang didakwanya tidak prihatin untuk menghidupkan semula perkhidmatan bot penambang tradisional di negeri.
Wan Muhamad berkata tidak nampak sebarang usaha yang dilakukan kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Ariffin Deraman.
“Kerajaan negeri ini macam tak ambil beratlah. Mereka kata ada Terengganu ada ramai pelancong datang tapi masuk ikut mana, kita tak dapat limpahan dari pelancong ramai yang didakwa exco itu.
“Kemudian saya bawa bot malam-malam, tapi tempat-tempat tarikan macam jambatan angkat, Masjid Kristal, Pulau Warisan gelap, tak ada lampu. Macam mana kita nak tarik orang ramai.
“Patutnya mereka perbanyakkan aktiviti atau program seperti pertandingan bot ke apa baru orang nak datang.
“Masa kerajaan lepas kita ada pertandingan tahunan perarakam bot penambang tapi sekarang dah tak ada,” katanya. – 10 April, 2021.
Komen