Mana vaksin Covid-19 yang dibotolkan Pharmaniaga, soal Rajiv  


Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menggesa kerajaan untuk membeli vaksin Covid-19 yang siap untuk digunakan bagi menjimatkan masa.– Gambar EPA, 9 April, 2021.

APA yang berlaku kepada 200 liter vaksin Covid-19 Sinovac yang diambil secara pukal oleh Pharmaniaga Bhd untuk dibotolkan dan keluarkan 300,000 dos, soal Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Beliau berkata sudah lebih sebulan sejak Pharmaniaga mengambil vaksin itu secara pukal namun tiada pun dos yang dikeluarkan syarikat itu.

“Bagaimanapun, sejak itu tiada produk siap yang akan digunakan dalam program vaksinasi. Apa dah jadi dengan desakan untuk memvaksinasi penduduk bagi mencapai imuniti?

“Di mana kesegeraan untuk memvaksinasi sejumlah petugas barisan hadapan ekonomi dan guru? Kurangnya sikap kesegeraan dalam mendesak Pharmaniaga untuk membungkus vaksin menunjukkan ketidakcekapan kerajaan,” kata Rajiv dalam satu kenyataan hari ini.

Anak syarikat Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), menerima kumpulan pertama vaksin Sinovac Covid-19 untuk tujuan pembuatan proses pengesahan (PV) kumpulan pada 27 Februari.

Ini adalah vaksin pertama yang diisi dan disiapkan secara tempatan.

Pharmaniaga mengatakan bahawa proses pengesahan - yang merupakan sebahagian daripada syarat permohonan pendaftaran oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)  - akan bermula pada 1 Mac dan dijangka selesai dalam 12 hari.

Rajiv berkata sekiranya Pharmaniaga tidak dapat menunjukkan prestasi dalam pembotolan dan pengedaran produk akhir, kerajaan harus segera mengatasi kekurangan ini.

“Kita sudah empat bulan sejak vaksin dibeli dan dilambatkan oleh satu syarikat korporat sama sekali tidak dapat diterima.

“Saya dengan tegas menggesa kerajaan untuk mula menukar dari pembelian pukal kepada pembelian produk yang sudah siap secara terus, sebagaimana yang kita lakukan untuk Pfizer.

“Kita perlu ingat untuk mencapai sasaran imuniti perlu cepat dan kita tiada ruang untuk kesilapan seperti ini,” katanya.

Beliau juga turut menyatakan kerajaan sudah mengambil dua penghantaran 100,000 dos vaksin Sinovas dalam bentuk produk siap pada 14 Mac dan 22 Mac tahun ini. – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen