Bocor rakaman perbualan Zahid-Anwar untuk pecah belahkan parti, kata pemimpin Umno


Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis

Akar umbi menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengambil langkah segera untuk membersihkan namanya sekali gus nama parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2021.

ADA usaha untuk memecahbelahkan parti, kata pemimpin Umno, mengulas rakaman suara yang tersebar yang didakwa perbualan antara Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar  Ibrahim berbincang mengenai langkah politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mereka mahu Zahid mengambil langkah segera untuk membersihkan namanya sekali gus nama Umno.

Mereka mahu Zahid membuat sumpah laknat, selain membawa isu itu untuk disiasat oleh polis seperti yang disebutnya dalam penafian mengenai perbualan itu, semalam.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jeffridin Atan berkata isu rakaman perbualan itu tidak harus dipanjangkan memandangkan Zahid sendiri sudah menafikannya. 

Katanya, jika benar sekalipun perbualan itu ada, ia tidak salah kerana adalah perbualan “antara dua kawan”, sebaliknya pihak yang mendedahkan rakaman itu sudah tentu mempunyai agenda untuk memecahbelahkan Umno.

“Perbualan itu adalah biasa, kawan lama. Beliau (Zahid) dengan Anwar memang kawan lama. Bagi saya tak salah perbualan kawan memuji cerita parti masing masing, bukan luar biasa sangat (sampai) rakyat terkejut.

“Beliau bebas nak berbual dengan sesiapa sahaja. Ia bukan soal akidah, terkeluar agama. Kita tak boleh hukum orang macam itu.

“Saya rasa ada usaha nak pecah belahkan orang Umno. Dalam suasana sekarang semua orang ambil peranan nak pelah belahkan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Apli Yusoff pula berkata jika benar berlaku perbualan tersebut bermakna Zahid sebagai presiden telah melanggar keputusan yang dicapai Majlis Kerja Tertinggi dan seterusnya disahkan oleh perhimpunan agung parti.

Namun jika tidak benar, ia menunjukkan ada pihak yang tidak puas hati dengan kepimpinan Umno.

“Jadi pihak itu cuba nak pecah-belahkan pimpinan Umno peringkat pusat,” katanya.

Tambahnya, akar umbi Umno pada peringkat awal percaya akan dakwaan rakaman perbualan antara dua pemimpin tersebut.

“Kita survey ramai yang percaya tapi benda yang percaya ini pun, kita lihat zaman sekarang semua boleh buat.

“Jadi kena lihat dari pelbagai sudut, yang pertama, serah kepada polis untuk siasat tapi yang pentingnya, Zahid sendiri sudah buat penafian,” katanya.

Pada masa sama beliau mencadangkan Zahid membuat sumpah laknat bagi membersihkan namanya.

Zahid dan Anwar masing-masing semalam menafikan perbualan telefon yang tersebar itu dan mengarahkan pegawai mereka untuk membuat laporan polis.

Menurut Zahid, penyebaran rakaman itu satu percaturan politik untuk menghancurkan Umno.

Dalam perbualan telefon itu, suara mirip Anwar didengar memuji Zahid atas ucapannya di perhimpunan agung itu.

Dalam ucapan penggulungannya, Zahid menegaskan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu.

Beliau juga mendapatkan mandat daripada perwakilan untuk Majlis Kerja Tertinggi menentukan tempoh yang sesuai bagi Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin Yassin.

Rakaman perbualan itu membayangkan wujud usaha dan percaturan kuasa antara Zahid dan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin yang dikatakan sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Zahid sebelum ini turut menafikan beliau menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai perdana menteri walaupun beberapa pihak mendakwa surat itu bukan palsu.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi turut mempersoalkan motif penyebaran rakaman audio Zahid dengan Anwar.

Menulis di Facebooknya, Puad menyifatkan skandal merakamkan perbualan peribadi melibatkan lawan politik adalah hari hitam kepada demokrasi di Malaysia.

“Politiking keji tidak akan berakhir. Wujudnya kluster lompat dan merakam telefon adalah natijah kerana kerajaan hari ini tidak ada majoriti jelas,” katanya.

Manakala Ketua Pemuda Umno Segamat Bastieen Onn berkata perkembangan tersebut telah mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan kegusaran kepada ahli akar umbi.

Jelasnya ini bukan pertama kali  dakwaan kerjasama dengan Anwar timbul kerana sebelum ini tersebarnya surat sokongan Zahid  terhadap presiden PKR itu pada Oktober lepas

“Kita mohon presiden buat laporan polis sekiranya tidak benar bagi membolehkan siasatan dibuat bagi menangkap mereka yang melakukannya.

“Bukan kali pertama persoalan kerjasama dengan Anwar timbul. Terdahulu ada surat berlegar dan ia  perlu disiasat supaya mereka yang membuat fitnah ini di tangkap dan kebenaran timbul,” katanya.

Beliau berkata gesaan untuk Zahid membuat laporan polis segera memandangkan ia satu fitnah yang besar dan tidak  menjatuhkan kredibiliti jawatan nombor satu dalam Umno itu.

“Kita dalam perhimpunan agung Umno kata kita parti Melayu, payung Melayu, jumlah sokongan Umno terbesar dalam Parlimen. Tapi ini masalah serius, demi lindungi institusi presiden kena buat laporan polis jernihkan keadaan.

“Kalau tidak apa sahaja tindakan selepas ini akan dinafi, cakap presiden orang dah tak percaya. Kita kena jaga institusi presiden. Ini fitnah besar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi melihat konteks rakaman perbualan itu, yang tersebar selepas perhimpunan agung Umno dan hampir serentak dengan tindakan kebankrapan terhadap Najib Razak.

Beliau tidak menolak ada usaha untuk terus menekan Zahid dan Najib serta menamatkan karier politik mereka, selepas kedua-duanya lantang mempersoalkan kerjasama politik Umno dengan Bersatu.

“Ini agak bahaya kerana persepsi politik lebih hidup daripada realiti dan mempengaruhi persepsi terhadap kerajaan Perikanan Nasional (PN) dan populariti kerajaan. 

“Lebih-lebih lagi rakaman itu jika betul sekali pun, ia tidak sah kerana merakam perbualan peribadi,” katanya.

Jelas Awang Azman, pendedahan rakaman perbualan dua pemimpin itu hanya merugikan semua pihak dalam parti politik tidak kira Zahid atau Anwar bahkan kepada PN sendiri.

Katanya, pendedahan rakaman itu menyebabkan rakyat sangsi akan kedudukan rakaman sulit di sisi undang-undang. – 8 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen