Kluster perjumpaan sosial di Johor catat 15 kes Covid-19


Sebanyak 10 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini di mana salah satunya melibatkan perjumpaan sosial di Johor yang kini mencatatkan 15 jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2021.

SEBANYAK 10 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini di mana salah satunya melibatkan perjumpaan sosial di Johor yang kini mencatatkan 15 jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini salah satu daripada dua kluster jangkitan komuniti yang dilaporkan hari ini.

Dikenali sebagai kluster Jalan Persiaran Putri di Johor, kes jangkitan dalam kluster itu kini merebak di Kulai, Kota Tinggi, Muar dan Kluang.

Kluster komuniti lain pula adalah Sungai Kawi di Sarawak yang berasal dari pesakit indeks simptomatik dan kini mencatatkan 127 kes.

Satu lagi kluster import daripada 10 kluster baharu yang dikenali sebagai Highline melibatkan anak kapal yang berlabuh di Pengerang, Kota Tinggi dan melaporkan lima kes.

Baki kluster lain pula berkaitan dengan pusat tahanan dan enam berkaitan tempat kerja.

Kluster pusat tahanan adalah Tembok Choh Dua di Johor Bahru di mana kes indeks menjalani pemeriksaa pra-kemasukan sebelum ditempatkan di sebuah pusat kesihatan. Kluster ini menjangkiti 10 orang.

Bagi kluster tempat kerja, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing melaporkan dua kluster sementara Johor serta Sarawak masing-masing mencatatkan satu kluster.

Kluster ini dikesan di kilang dan bangunan pentadbiran kerajaan.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan penamatan kluster - Jalan Loke Yew, Jalan Limau Manis, Jalan Cyber Satu, Vista Hilir, Batu Sebelas, Tembok Bendera, Pona, l Jalan Maju Satu, tapak pembinaan Jalan MPdan kluster Kampung Sungai Burun.

Dengan ini jumlah kluster aktif di negara ini sebanyak 354. – 7 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen