Hujan berterusan, Pulau Pinang dilanda banjir lagi


Looi Sue-Chern

Kenderaan mengharung air banjir yang melanda beberapa bahagian di Pulau Pinang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Januari, 2018.

HUJAN lebat berterusan di Pulau Pinang sejak petang semalam menyebabkan air sungai melimpah, sekali gus mengakibatkan banjir di beberapa bahagian negeri hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Sungai Pinang berada pada tahap bahaya dengan paras air setinggi 2.87mm manakala Sungai Air Itam berada pada paras amaran 6.25mm awal hari ini.

“Status hujan kumulatif di stesen Sungai Pinang dan Sungai Air Itam berada pada 159mm dan 129mm,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini, tepat dua bulan (November) apabila Pulau Pinang mengalami hujan dan banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Hujan lebat juga sama dengan kejadian air pasang pada 2.34mm jam 2.30 pagi tadi.

Sistem saliran di kebanyakan kampung yang terjejas berada di kawasan rendah tidak dapat menangani pengaliran air, katanya.

Setakat kini, tiada pemindahan mangsa di pulau ini.

Antara kawasan yang terjejas banjir di daerah timur laut Pulau Pinang ialah Kampung Masjid, Kampug Jawa, Jalan P. Ramlee, Sekolah Abdullah Munshi, Kampung Makam, Jalan Kuantan, Kampung Hashim Yahya, Halaman Bukit Gambir, Lumba Kuda, Jalan Patani, Jalan Singgora, Stadium Astaka, Persiaran Perak, Jalan Terengganu, Ladang Hong Seng, Jalan Anson, Jalan Gudwara, Jalan Maxwell, Lebuhraya Nordin, Lebuh McNair dan Kampung Mutiara di Batu Feringghi.

Chow berkata air banjir naik 0.1m hingga 0.9m.

Di daerah barat daya pulau itu, Kampug Sulup, Nelayan dan Paya di Teluk Kumbar; Kongsi 10 di Sungai Ara, dan Jalan Dato Ismail Hashim dibanjiri air setinggi 0.1 hingga 0.3m sejak 2 pagi berikutan hujan lebat. Direkodkan air setinggi 51mm dan 46mm di Teluk Bahang dan Tali Besar Sungai Pinang.

Langkah jangka pendek untuk menangani banjir adalah melebarkan Sungai Pinang dan muaranya, Sungai Air Itam, Sungai Dua, Sungai Jelutong, Sungai Gelugor, Sungai Air Terjun dan Sungai Dondang.

Beberapa sungai melimpah susulan kenaikan paras air akibat hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 5 Januari, 2018.

Langkah lain termasuk menaik taraf tebing sungai, membersihkan sungai dan sistem pengairan untuk membersihkan bahagian tersumbat dan membaiki struktur yang rosak.

Penyelesaian jangka panjang pula adalah dengan melakukan projek tebatan banjir untuk Sungai Pinang, yang sedang diminta kerajaan daripada dana persekutuan.

Di tanah besar, empat keluarga di Mak Mandin, Butterworth di utara Sebarang Prai terpaksa dipindahkan dari rumah mereka.

Kawasan itu dibanjiri air setinggi 0.1m hingga 0.3m. Ia menempatkan beberapa buah flat, kawasan perindustrian, sekolah rendah Tamil, sekolah menengah dan kampung.

“Punca banjir di sana adalah hujan berterusan dan sistem saliran yang teruk yang juga disekat oleh sampah,” kata Chow.

Di pusat bandar Seberang Prai, beberapa kawasan juga dibanjiri dengan paras air meningkat 0.1 hingga 0.3m sejak pukul 5 pagi.

Kawasan terjejas ialah Permatang Rawa, Padang Lalang, Taman Sri Rambai, Taman Desa Damai, Taman Makok, Taman Kota Permai, Machang Bubok, Kebun Sireh, Jalan Baru, Taman Siakap, Kampung Tok Panjang, Kubang Semang, Taman Sukun, Taman Senangin, Tenggiri Kampung Gajah Mati, Bukit Teh, kawasan perindustrian Pala, Kampung Tok Konan, Taman Usaha, Taman Impian dan Impian Jaya, Kampung Haji Musa, Kampung Dock, Taman Sri Permai dan Tanah Liat.

Di selatan Seberang Prai, lima rumah di Kampug Sethu, enam di Kampung Pengkalan dan empat di Kampung Titi Hitam dibanjiri pada pukul 7 pagi. – 5 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen