BRAZIL memecah rekod lebih 4,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, kata kementerian kesihatan negara itu.
Sebanyak 4,195 kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kini 337,000, ditempat kedua selepas Amerika Syarikat (AS).
Sistem kesihatan Brazil kini dalam tekanan susulan gelombang baharu pandemik Covid-19 yang melanda negara itu.
“Situasi sekarang sangat kritikal, dan langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri atau persekutuan nampaknya tidak berkesan,” kata Ethel Maciel, pakar ahli epidemiologi dari Universiti Persekutuan Espirito Santo.
“Dan setakat ini, hanya 10% populasi sudah menerima dos pertama vaksin. Satu-satunya cara untuk membendung penularan ialah dengan melaksanakan perintah berkurung untuk sekurang-kurangnya 20 hari.
“Malang sekali, politik menjerumuskan kita dalam situasi ini, jumlah yang meninggal dunia terlalu ramai. Ini sangat menyedihkan.”
Beliau mengulas tindakan Presiden Jair Bolsonaro yang tidak mengendahkan nasihat pakar kesihatan dalam usaha membendung penularan pandemik di Brazil. Malah Kongres dan sektor perniagaan menggesa presiden itu berbuat sesuatu untuk mengawal keadaan.
Bolsonaro minggu lalu merombak semula Kabinet dengan menggantikan menteri-meteri luar, undang-undang dan pertahanan, serta panglima angkatan tentera.
Brazil yang mempunyai 212 juta penduduk itu merekodkan purata 2,757 kematian sehari sejak seminggu yang lalu, tertinggi di dunia setakat ini.
Intitusi kesihatan awam Fiocruz berkata unit rawatan rapi hospital di 18 daripada 27 negeri di Brazil kini penuh dengan pesakit Covid-19.
Pakar berkata lonjakan kes di Brazil disebabkan oleh varian P1 yang dipercayai lebih cepat menular. – AFP, 7 April, 2021.
Komen