Pegawai kedutaan Malaysia di Kemboja, ahli keluarga terima suntikan vaksin


Seramai 20 kakitangan kedutaan Malaysia di Kemboja dan ahli keluarga menerima dos pertama vaksin AstraZeneca pada 24 Mac. – Gambar EPA, 6 April, 2021.

PEGAWAI kedutaan Malaysia di Kemboja dan ahli keluarga mereka antara yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 akhir bulan lalu.

Duta Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kemboja atas bantuan vaksinasi untuk diplomat asing di negara ini.

Katanya, seramai 20 kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka (termasuk tanggungan di atas 18 tahun) menerima dos pertama vaksin AstraZeneca pada 24 Mac.

“Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Hun Sen dan menteri kabinetnya atas kepemimpinan mereka dan telah bekerjasama rapat dengan duta dan pegawai kedutaan dalam memberikan maklumat terkini dan perancangan strategik kepada rakyat asing untuk mendapatkan vaksin.

“Kami berharap melalui langkah vaksinasi ini, kedua-dua negara dapat membangunkan kerjasama baharu dan aktiviti perjalanan dapat dimulakan semula semula secepat mungkin untuk merangsang kerjasama ekonomi dan meningkatkan hubungan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ujarnya, proses vaksinasi berjalan lancar dan menjangkakan dos kedua vaksin AstraZeneca akan diterima dalam beberapa minggu lagi. – Bernama, 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen