Hospital swasta boleh bantu percepat pendaftaran vaksin, kata APHM


Hospital swasta bersedia membantu kerajaan berkenana pendaftaran imunisasi suntikan vaksin Covid-19, kata APHM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

HOSPITAL swasta kini bersedia membantu kerajaan berkenana pendaftaran imunisasi suntikan vaksin Covid-19, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata ini akan meningkatkan pilihan untuk pendaftaran secara manual.

 APHM pada masa ini bekerjasama dengan jawatankuasa Covid-19 berkenaan bekalan vaksin.

“Menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, majoriti rakyat Malaysia masih belum mendaftar dan puncanya masih dikenal pasti.

“Kami mahu menambah pilihan kepada masyarakat dan pesakit untuk mendaftar secara manual dengan bantuan kakitangan di hospital swasta kami.

“Ini untuk vaksin percuma yang diberikan oleh kerajaan. Hospital swasta pada masa ini sedang berbincang untuk mengesahkan komitmen kami memberi suntikan kepada orang ramai menggunakan vaksin disediakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat 210 hospital swasta di Malaysia, dengan 152 daripadanya ialah ahli APHM, katanya.

“Pada 2018, terdapat 1.1 juta kemasukan wad di hospital swasta dan 3.8 juta pesakit luar.

“Kami percaya dengan angka ini, usaha kita untuk mendapatkan lebih ramai rakyat dan penduduk di negara ini berdaftar mendapatkan suntikan vaksin akan memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.”

Pada 4 April, Adham berkata hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penerima vaksin yang disasarkan, sudah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Angka itu hanya kira-kira 30% daripada populasi, di mana ia jumlah yang rendah, kata Kementerian Kesihatan.

Setakat 5 April, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 memberitahu jumlah pendaftaran 8,000,582 atau 33% daripada populasi.

Bagi tempoh sama, 523, 233 individu menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech sementara 306,803 sudah menerima dua dos.

Fasa kedua program imunisasi akan bermula 19 April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas, berusia 60 tahun ke atas, selain kumpulan berisiko tinggi termasuk masalah kesihatan dan kurang upaya.

Fasa ketiga dijangka bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 bagi individu berusia 18 tahun ke atas, dengan sasaran seramai 14 juta orang. – 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen