Kalang Warisan sambung rezeki warga Kg Pulau Manis


Diyana Ibrahim

Kalang Warisan yang terletak di Kampung Pulau Manis di Terengganu menjadi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah.– Gambar The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

PADA mulanya Kalang Warisan yang terletak di Kampung Pulau Manis di Terengganu hanyalah satu ruang di tebing sungai berhampiran satu pengkalan bagi penduduk setempat beriadah.

Kawasan itu kemudiannya dibangunkan oleh belia kampung tersebut untuk dijadikan projek pelancongan komuniti setempat bagi memperkenalkan keindahan lokasi pengkalan di Serada itu.

Wakil belia kampung itu, Muhammad Rafi Kori memberitahu The Malaysian Insight, ia juga digerakkan untuk membantu penduduk kampung yang terjejas pendapatan.

Katanya, idea itu muncul ketika ramai penduduk kampung tidak dapat bekerja semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu bagi mengekang pandemik Covid-19.

“Semasa PKP yang pertama, kami memang tak ada buat apa. Tak ada tempat nak lepak. Keluar ke bandar tak boleh, kerja tak ada. Jadi kebanyakan dari kami lepak di tepi sungai.

“Masa itu juga kita bina jeti dari jeti pertama, hingga jeti keempat dibina. Kemudian kami bersihkan kawasan tepi sungai jadi dari situ kami terfikir untuk bangunkan jadi projek pelancongan komuniti.”

Isu dana merupakan cabaran utama mereka memandangkan projek membangunkan kawasan pengkalan itu diusahakan sendiri oleh penduduk setempat, kata Rafi, 42.

“Kita kumpul duit sikit-sikit bersama orang kampung. Dan kebetulan ada madrasah di kampung berminat untuk membangunkan kawasan tersebut. Jadi kita berkongsi modal.

“Dari segi tenaga pula untuk buat jeti, orang kampung yang buat sebab kebanyakan mereka memang bekerja sebagai tukang kayu, tukang besi.

“Jadi, kayu kita pakai kayu terpakai. Buluh cari sendiri. Atap nipah pun sumbangan dari orang kampung,” katanya.

Ujarnya lagi, mereka kemudiannya membina ruang berniaga yang berkonsepkan tradisional dan memanggil penduduk kampung terjejas pendapatan kerana pandemik Covid-19 untuk berniaga.

Ruang niaga yang berkonsepkan tradisional dibina sendiri oleh penduduk kampung di Kalang Warisan. – Gambar The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

“Kita buat sekali gerai sebab untuk ruang penduduk kampung berniaga. Sebab masa Covid-19 mereka ini rata-ratanya peniaga makanan, pasar malam tak dapat berniaga di bandar.

“Jadi kita sediakan ruang dan panggil mereka berniaga. Alhamdullilah penduduk kampung gembira sebab mereka dapat tambah pendapatan,” katanya

Nama “Kalang” itu pula mengikut dialek setempat merujuk kepada pengkalan atau jeti kecil yang biasanya didirikan di setiap rumah pada masa dahulu.

Muhammad Rafi menjelaskan, ni kerana pada masa itu penduduk bergantung hidup kepada Sungai Terengganu, sama ada untuk pengangkutan, menangkap ikan malah sebagai sumber air.

“Dulunya boleh dikatakan majoriti  orang kampung mendirikan rumah mereka di tepi pesisir tebing sungai.

“Jadi kesemua rumah orang kampung mesti akan mempunyai jeti atau kalang sendiri memudahkan mereka melakukan aktiviti harian dan menyeberang ke kampung sebelah,” katanya.

Kalang Warisan dibuka secara rasmi pada Julai semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasa dan kini menjadi menjadi tempat tarikan pelancongan baharu di Terengganu.

“Memandangkan sekarang ini kita masih lagi tidak boleh rentas negeri, jadi Kalang Warisan memang mendapat sambutan dari rakyat Terengganu

“Selain jana pendapatan penduduk ia juga  memperkasakan  industri pelancongan domestik,” katanya.

Kalang Warisan dibuka setiap hari dan ditutup pada Rabu.

Penduduk tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kecuali jika pengunjung ingin membuat aktiviti seperti menaiki bot untuk bersiar-siar bagi menikmati keindahan Sungai Terengganu.

Aktiviti bot persiaran itu memberi pendapatan kepada pengusaha seperti Asmadi Ali, 47, yang teruk  terjejas semasa pelaksanaan PKP.

Asmadi yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori selama sembilan tahun terpaksa berhenti kerja untuk kembali menetap di kampungnya.

“Saya kemudiannya membuat kerja kampung namun semasa PKP memang kerja tak ada langsung

“Jadi bila saya dengar mereka nak bangunkan Kalang Warisan dan saya pula tahu bawa bot kerana itu saya fikir apa salahnya kalau saya jadi pemandu bot,” katanya.

Usaha itu membolehkan beliau meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

Seorang lagi peniaga di Kalang Warisan yang hanya mahu dikenali sebagai Suraiya berkata dulunya berkerja mengambil upah menjahit di bandar Kuala Terengganu.

Suraiya, 52, berkata kerjanya sebagai tukang jahit membolehkannya mendapat gaji RM700 sebulan  namun segalanya terhenti apabila beliau kehilangan pekerjaan semasa PKP.

“Masa PKP itu semua (perusahaan) tutup, dan kita semua tak boleh ke bandar. Memang masa itu tak ada duitlah sebab tak kerja kan.

“Sampailah bila Kalang Warisan dibuka lepas Raya Haji, mereka panggil penduduk kampung yang berniaga jadi saya pun cubalah sekali. Dan sambutan setakat ini memang menggalakkan,” katanya.– 6 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen