Putrajaya seperti pembuli kembalikan jajaran ECRL era BN, kata Teng 


Putrajaya bertindak seperti pembuli kerana memutuskan secara sepihak untuk kembalikan jajaran asal ECRL, kata Exco Selangor Teng Chang Khim.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

PUTRAJAYA bertindak seperti pembuli dalam memutuskan secara sepihak mengubah jajaran utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Exco Selangor Teng Chang Khim.

Teng berkata kerajaan persekutuan Perikatan Nasional berbuat demikian selepas gagal meyakinkan kerajaan negeri Pakatan Harapan mengeai jajaran utara. 

Beliau juga berkata Selangor tidak akan mendapatkan tanah untuk kerajaan persekutuan jika ia bertegas dengan penjajaran utara era BN untuk ECRL.

“Kerajaan persekutuan berkelakuan seperti pembuli kerana membuat keputusan secara sepihak selepas gagal meyakinkan kerajaan negeri mengenai jajaran utara. 

“Di bawah Seksyen 20A Akta Pembangunan Bandar dan Desa, kerajaan persekutuan akan berunding dengan jawatankuasa perancang negeri untuk pembangunan yang dicadangkan.

“Rundingan yang bermakna adalah yang memenuhi keperluan kedua-dua pihak dan bukan satu pihak yang disukai oleh satu pihak tanpa kebenaran pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan ECRL akan mengubah jajaran kembali ke jajaran utara asal bagi menghubungkan Pahang dan Selangor sekaligus membatalkan rancangan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang mahu jajaran selatan. 

Selangor membantah jajaran utara kerana mendakwa jajaran selatan akan membuka lebih banyak sektor ekonomi baharu, selain mengelakkan gangguan kawasan tadahan air di sekitar Selangor. 

Wee berkata anggaran kos bagi ECRL Jajaran Utara atau ECRL 3.0 adalah RM50 bilion. Pembinaannya memakan masa tujuh tahun dan ECRL akan beroperasi pada 2027. 

Jajaran utara sepanjang 201 kilometer, yang menghubungkan Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah, akan enggantikan jajaran selatan yang merentasi Negeri Sembilan. 

Wee berkata jajaran utara meningkatkan kelestarian projek dan akan memberi faedah lebih besar kepada masyarakat dan ekonomi. 

Tambahnya, jajaran utara melibatkan pembinaan tujuh stesen pada jangka masa panjang dengan lima daripadanya dibina pada peringkat awal. 

Stesen ini adalah Temerloh, Bentong, ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam.

Dua lagi stesen – di Puncak Alam dan Kapar – akan dibina kemudian.

Sementara itu Teng berkata Selangor telah menyiapkan kerja awal yang diperlukan untuk mendapatkan perolehan tanah bagi jajaran selatan yang diminta Kementerian Pengangkutan sebelum ini. 

“Keputusan kementerian itu telah mensia-siakan usaha dan masa yang diluangkan kerajaan negeri untuk jajaran selatan. 

“Desakan untuk penjajaran utara dan serta sikap terburu-buru kementerian jelas mencurigakan,” katanya.

Sementara itu Negeri Sembilan, yang terkeluar daripada ECRL, meminta Putrajaya untuk mempertimbang semula keputusannya. 

Exco negeri Teo Kok Seong berkata langkah itu adalah diskriminasi terhadap rakyat Negeri Sembilan. 

“Langkah untuk kembali ke jajaran asal ECRL sebagaimana dicadangkan pentadbiran BN adalah untuk menyisihkan Negeri Sembilan.

“Pengumuman ini meletakkan perbezaan politik mengatasi kepentingan nasional,” kata Teo dalam satu kenyataan. – 5 April, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen