TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang yang dijadual berakhir esok, dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 20 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pelanjutan PKPD itu berikutan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk di kampung tersebut dengan enam kes baharu direkodkan sehingga semalam.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 513 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif Covid-19 dikesan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.
Sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang bermula 16 Mac lepas dan tamat pada 29 Mac, namun PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjutkan sehingga 6 April.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis menahan 137 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 114 daripadanya dikompaun, 10 direman manakala 13 lagi dijamin. – Bernama, 5 April, 2021.
MENYUSUL
Komen