MALAYSIA melaporkan 1,070 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan jumlah kes harian terendah dalam minggu ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata jangkitan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara ini sebanyak 352,029.
Daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes paling banyak dengan 327 jangkitan diikuti Sarawak dengan 225 kes dan Pulau Pinang sebanyak 133 kes.
Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu, sembilan kes import sementara 1,061 melibatkan jangkitan tempatan.
Dari jangkitan tempatan itu, 904 melibatkan rakyat Malaysia dan 157 warga asing.
Sementara itu, beliau berkata bahawa seramai 1,294 pesakit pulih dan keluar dari hospital.
Beliau berkata dengan ini, jumlah kes aktif menurun kepada 14,278, di mana 180 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 89 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, negara melaporkan tujuh kematian hari ini, semua penduduk tempatan - menjadikan jumlah kematian keseluruhan menjadi 1,295.
Empat kematian dilaporkan di Selangor, dua di Sabah dan satu di Johor.
Enam daripada tujuh mangsa adalah lelaki, sementara semua pesakit mempunyai sejarah sakit kronik. – 5 April, 2021.

Komen