Kerajaan ada pelan sokongan ganti vaksin AstraZeneca, kata Khairy


Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sudah berbincang dengan beberapa pengeluar vaksin yang lain termasuk Novavax, sebuah syarikat bioteknologi yang berpusat di Maryland, AS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

KERAJAAN mempunyai beberapa pelan sokongan jika terpaksa menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata kerajaan sudah berbincang dengan beberapa pengeluar vaksin yang lain termasuk Novavax, sebuah syarikat bioteknologi yang berpusat di Maryland, AS.

“Jika Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 memutuskan bahawa vaksin AstraZeneca tidak sesuai digunakan, kami sudah mempunyai rancangan lain.

“Kita juga sudah menerima tawaran dari Pfizer untuk membeli 12.8 juta dos vaksin mereka selain 30 juta dos yang sudah kami tempah,” katanya di Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Beliau sebelum ini bertemu dengan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad. 

Khairy juga berkata bahawa jawatankuasa itu akan berbincang pada Selasa ini untuk mengkaji data klinikal mengenai vaksin AstraZeneca.

Beliau berkata bahawa kerajaan sudah meneliti laporan badan kawal selia dari United Kingdom (UK) mengenai kes darah beku selepas disuntik dengan vaksin AstraZeneca.

“Jawatankuasa akan mendengar maklum balas pakar mengenai vaksin berkenaan. Segala keputusan mengenai penggunaannya akan dibuat kemudian,” kata Khairy.

Vaksin AstraZeneca telah mendapat persetujuan bersyarat oleh Badan Farmaseutikal Nasional (NPRA) tetapi belum tiba di Malaysia.

“Ia dijadualkan akan tiba pada Mei. Orang ramai tidak perlu risau kerana kita masih menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan SinoVac,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia telah memesan 6.4 juta dos vaksi  AstraZeneca dan dijadualkan mendapat tambahan 1.4 juta dos melalui insiatif Covax.

AstraZeneca sedang berdepan kontroversi apabila beberapa negara melaporkan beberapa penerima mengalami kesan sampingan darah beku selepas menerima vaksin berkenaan manakala ada di antara mereka kemudian meninggal dunia.

Bagaimanapun terdapat beberapa perselisihan antara agensi nasional mengenai sama ada akan menarik semula vaksin berkenaan atau tidak. – 4 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen