Jaminan Muhyiddin bela kaum India hanya janji manis, kata Ramasamy


Kemakmuran dan kebajikan yang dijanjikan sejak berdekad lalu tidak pernah dinikmati masyarakat India,kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

JAMINAN Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus membela kebajikan dan menaik taraf hidup masyarakat India negara ini hanyalah janji manis perdana menteri itu, kata P Ramasamy.

Hakikatnya, kemakmuran dan kebajikan yang dijanjikan sejak berdekad lalu tidak pernah dinikmati masyarakat India, tambah timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.

“Kepentingan orang Melayu dan Islam meminggirkan bukan Melayu, terutamanya masyarakat India, untuk mendapat manfaat dari pembangunan ekonomi, politik dan sosial.

“Tidak sukar pun untuk memahami mengapa masyarakat India berada dalam situasi sekarang ini, katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Muhyiddin berjanji untuk membela kebajikan dan menaik taraf hidup semua bangsa termasuk kaum India negara ini menerusi  Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ini termasuklah masyarakat India di negara ini walau apa jua taraf hidup anda dan di mana jua anda berada. We will take care of you. This is our pledge to you,” kata perdana menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan ke-74 secara maya semalam.

Janji Muhyiddin itu disanggah Ramasamy, menegaskan dasar perkauman dan agama selama ini telah membantut kemajuan sosioekonomi masyarakat India.

“Semua janji manis Muhyiddin atau pemimpin lain tidak memberi apa-apa makna untuk kesejahteraan masa depan masyarakat India.

“Banyak air mata dan darah ditumpah demi negara ini, tetapi masyarakat India dilayan seperti warga kelas ekdua atau ketiga,” katanya. – 4 April, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen