Ribuan rakyat Jerman protes sekatan Covid-19


Ribuan penunjuk perasaan berarak dari pusat bandar ke dataran utama di timur laut Stuttgart, Jerman. – Gambar EPA, 4 April, 2021.

RIBUAN penunjuk perasaan memenuhi jalanan di Stuttgart pada Sabtu membantah sekatan virus ketika perdebatan sengit di seluruh Jerman berhubung langkah pencegahan yang diperketatkan dalam menghadapi gelombang ketiga Covid-19.

Penunjuk perasaan, beberapa di antaranya memakai pelitup muka, berarak dari pusat bandar ke dataran utama di timur laut Stuttgart.

Polis di bandar barat daya berkata penunjuk perasaan tidak mengendahkan arahan memakai pelitup muka dan mematuhi peraturan penjarakan sosial, walaupun tiada laporan berlaku insiden besar.

Gerakan menentang sekatan sosial, yang dikenal sebagai “Querdenken (Anticonformist)”,  mengadakan demonstrasi berkala di Jerman sejak bermulanya wabak ini.

Ia menyatukan ahli kumpulan ekstrim kiri dan kanan bersama teori konspirasi dan kumpulan anti-vaksin.

Pada 20 Mac, 15,000 hingga 20,000 berkumpul di bandar Kassel, yang menyebabkan pertempuran dengan polis dan menyaksikan banyak tangkapan.

Di Stuttgart, penunjuk perasaan pada Sabtu memegang sepanduk dengan slogan “Tamatkan pemerintahan diktator Covid”.

Protes itu berlaku ketika perdebatan sengit di Jerman mengenai langkah ketat sekatan Covid-19 dalam menghadapi lonjakan jangkitan.

Kerajaan sedang “mengkaji” kemungkinan memperkenalkan langkah seragam di seluruh negara Jerman “untuk menghentikan gelombang ketiga jika langkah pencegahan wilayah tidak mencukupi”, kata seorang jurucakap pada Sabtu.

Canselor Angela Merkel memilih langkah ketat untuk mengekang virus dengan kadar mencapai 131 kes bagi setiap 100,000 orang sejak seminggu yang lalu.

Dalam wawancara yang disiarkan di televisyen baru-baru ini, beliau menggesa pengenalan perintah berkurung, yang tidak pernah dilaksanakan di peringkat nasional, dan mengancam tindakan lebih ketat di tingkat persekutuan jikawilayah yang bertanggung jawab dengan masalah kesihatan, tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Pada Khamis beliau menggesa seluruh rakyat menjaga penjarakann sosial mereka semasa cuti Easter. – AFP, 4 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen