KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan tujuh kluster baharu Covid-19 hari ini dengan salah satunya dikaitkan dengan perkahwinan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata bahawa 13 kluster kini tidak aktif.
Dengan ini jumlah kluster aktif di negara ini kini berjumlah 357 kluster.
Terdapat empat kluster jangkitan komuniti yang dilaporkan hari ini sementara tiga yang lain berkaitan tempat kerja.
Sebanyak 68 kes dilaporkan dalam kluster perkahwinan di Kampung Binyu di Kuching, Sarawak.
Sementara itu kluster Jalan Merdeka yang terdiri daripada 29 kes di Johor, Simpang Tiga Merontai di Sabah (10 kes) dan Jalan Kenanga di Melaka (11 kes) – semuanya berkaitan dengan kes indeks simptomatik.
Bagi kluster tempat kerja, kluster Jalan Bandar Sembilan di Selangor dan Teknologi Peramu Jaya di Pahang masing-masing melaporkan 21 serta 36 kes. Kedua-dua kluster ini berkaitan dengan kilang.
Kluster Kubota Sentral dari sembilan kes yang dikesan di sebuah pusat perniagaan di Tawau, Sabah melengkapkan senarai kluster tempat kerja ketiga yang dilaporkan hari ini.
Dr Noor Hisham juga mengumumkan berakhirnya kluster Merotai Besar, Jengka Tujuh, Jalan Perindustrian Elektronik, Perindustrian Pelepas, Jalan Bukit Sentosa, Jalan Aman, l Persiaran Kuala, Tapak Bina Muda, Jalan Mutiara Barat, Jalan Tanjung Empat, Industri 19, Lagoon Selatan, dan Tapak Bina Pantai Dalam. – Bernama, 3 April, 2021.
Komen