PERBEZAAN politik menyebabkan blok pembangkang utama di Sarawak, Pakatan Harapan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) sukar menjalinkan kerjasama untuk pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi DAP dan PH Sarawak Chong Chieng Jen hari ini.
Beliau berkata jurang perbezaan itu akan semakin luas yang mana menurutnya “agak sukar untuk mencapai persetujuan dan konsensus” ketika ini.
Ahli Parlimen Stampin berkata kegagalan mereka untuk bersetuju dengan tujuan dan matlamat perjuangan menyebabkan mereka semakin terpisah.
“Tujuan dan matlamat utama PH adalah untuk mengagihkan kekayaan dan sumber negeri dengan lebih adil kepada kalangan rakyat.
“Agenda politik PSB masih tidak jelas,” katanya merujuk kepada parti berbilang kaum yang mula ditubuhkan pada 2014 sebagai Parti Sarawak Bersatu (UPP) dan menjadi parti baharu kepada ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dipecat susulan pergolakan kepimpinan yang sengit pada persidangan perwakilan parti berkenaan pada awal tahun itu.
Chong turut mempersoalkan mengenai dana kewangan parti yang disifatkannya sebagai “tidak jelas” pada sidang media di Kuching hari ini.
“Ianya tidak jelas. Sehingga kita dapat menyelesaikan tujuan matlamat dan perjuangan (PSB), agak sukar untuk mencapai kesepakatan dan konsensus.
“Sasaran utama kita adalah untuk mencapai konsensus. Langkah pertama adalah kita perlu jelas dan pasti dengan perjuangan politik.”
Chong berkata perjuangan politik PH adalah sangat jelas, PSB “masih belum menyatakan dengan jelas agenda dan matamat perjuangan politiknya.
Timbul spekulasi bahawa pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos. – 3 April, 2021.
Komen