Mahkamah batal perintah penahanan kerana Muhyiddin tak guna nama sebenar


Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan demikian kerana perintah itu ditandatangani menggunakan 'nama glamor' Muhyiddin Mohd Yassin, bukan nama sebenarnya dalam MyKad iaitu Mahiaddin Md Yasin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani oleh Muhyiddin Yassin semasa beliau menjawat jawatan menteri dalam negeri, lapor Malaysiakini.

Peguam Danial Amir Hamzah dipetik portal itu berkata, mahkamah memutuskan demikian kerana Muhyiddin menandatangani perintah itu menggunakan nama Muhyiddin Mohd Yassin, bukan nama sebenarnya dalam MyKad iaitu Mahiaddin Md Yasin.

“Di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, nama yang dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin, iaitu nama dalam MyKadnya.

“Hari ini Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa setiap keputusan eksekutif atau tindakan yang diambil oleh perdana menteri atau menteri harus menggunakan nama tersebut dalam warta, iaitu nama dalam MyKad dan bukan nama glamor,” katanya dipetik Malaysiakini.

Danial berkata pesuruhjaya kehakiman Norsharidah Awang hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Sabahan Awang Sari Lasikan, yang kini telah dibebaskan dari tahanan.

Peguam itu mewakili Sabahan, pekerja am yang ditahan di bawah perintah yang ditandatangani Muhyiddin pada 10 Mac tahun lalu.

Katanya,  Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah peguam bahawa Muhyiddin tidak sepatutnya menandatangani perintah penahanan dengan nama “Muhyiddin”, sebaliknya “Mahiaddin” seperti yang tertera pada MyKad.

Beliau juga berkata keputusan mahkamah itu sekali gus berpotensi membuka ruang kepada permohonan habeas corpus yang serupa.

Terdapat beberapa tahanan lain yang ditahan di bawah perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin ketika beliau menteri dalam negeri, tambah peguam itu lagi. – 2 April, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen