Dr Mahathir tak pernah dengar tentang 3 syarat PKR


Amin Iskandar

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata beliau baru mendengarnya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Januari, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mengatakan tidak pernah mendengar tentang tiga syarat dikenakan PKR sebelum bersetuju beliau menjadi calon perdana menteri.

“Terima kasih di atas maklumat itu. 

“Saya tak pernah dengar tentangnya dan sekarang saya dengar daripada anda,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan PKR meletakkan tiga syarat sebelum bersetuju Dr Mahathir dijadikan calon perdana menteri PH.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya menang PRU14.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata PH tidak ada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu apa pilihan yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu untuk mengubah Malaysia.

Ketika ditanya tentang cadangan Anwar Ibrahim agar PH mengekalkan tradisi berunding dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat berhubung calon perdana menteri, Dr Mahathir berkata: “Itu salah satu pandangan, tetapi kita akan putuskan mengikut konsensus.”

Dr Mahathir berkata calon perdana menteri perlu diumumkan sebelum pilihan raya kerana terlalu lambat untuk dilakukan selepas itu.

“Calon perlu diumumkan antara selepas konvensyen dan sebelum pilihan raya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PH akan tetap bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai satu gabungan, walau apa pun dilakukan kerajaan.

“Kita empat buah parti, cukup bersedia sebagai satu Pakatan Harapan.

“Kami akan masuk pilihan raya sebagai Pakatan Harapan. 

“Walau apa pun dilakukan oleh kerajaan termasuk tidak mendaftar dan macam-macam lagi yang dilakukan untuk mengancam kami, tetapi kami tak akan ada plan B, plan C dan plan D,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PH sudah bersedia untuk PRU14 dengan menggunakan persempadanan sedia ada dan juga sekiranya persempadanan baharu digunakan.

“Tak tahu sempat atau tidak nak guna persempadanan baharu, oleh kerana itu kita bersiap sedia untuk kedua-duanya,” katanya. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen