INDIVIDU yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 mungkin akan dibenarkan membuat perjalanan merentasi negeri di seluruh negara, dan perkara itu akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Muhyiddin Yassin.
Mereka juga boleh ke luar negara, dengan syarat memiliki sijil vaksinasi, tambah perdana menteri.
“Saya dah bincang dalam mesyuarat dengan MKN, kita hendak memutuskan siapa yang sudah dapat dua suntikan mereka boleh rentas negeri, boleh ke mana-mana dengan tidak dihalang oleh pihak berkuasa, polis dan sebagainya,” katanya pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuching, hari ini.
“Kita sudah mulakan rundingan dengan beberapa buah negara untuk membolehkan warga kita yang ada sijil boleh ke Jepun, Bangkok atau Jakarta.”
Tambah beliau, keputusan itu berdasarkan kepada laporan perubatan antarabangsa terkini yang mendapati bahawa individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dilindungi dan tidak menjadi pembawa virus.
Katanya lagi, kebenaran ini adalah satu kemudahan kepada individu yang menerima suntikan vaksin.
Muhyiddin berkata di Sarawak, kira-kira 1.3 juta penduduk negeri itu telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 - 600,000 menerusi aplikasi MySejahtera dan 700,000 lagi secara manual.
Kebanyakan yang mendaftar adalah penduduk di kawasan luar bandar Sarawak yang tidak mempunyai akses internet. – 1 April, 2021.
Komen